BERAKHIR sudah debat abad ini antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.
Debat yang ditunggu-tunggu sekian lama dan berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) itu berakhir tanpa siapa pun dinobatkan sebagai pemenang oleh pihak pengajur.
Namun bahasa tubuh, memek muka, gerakkan tangan dan fakta yang dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan menjadi perhatian komuniti debat sepanjang mereka berbahas.
Elemen tersebut adalah penentu kemenangan dalam satu-satu pertandingan bahas.
Melalui kesemua elemen itu, komuniti debat membuat pilihan siapa yang layak digelar pemenang.
Bahasa tubuh badan, memek muka
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram antara komuniti bahas yang menghabiskan masa satu jam setengah menontoh debat kedua-dua pemimpin.
Melalui bahasa tubuh badan, dapat menentukan sama ada seseorang itu jujur atau tidak terhadap fakta yang disampaikan.
“Bohong atau tidak, saya tidak pasti. Tetapi saya melihat ada ketika jawapan yang diberikan oleh Anwar sekadar untuk mempertahankan diri. Anwar menjawab tetapi tidak memberikan fakta yang khusus dan mendalam.
“Bila orang menjawab tanpa memberikan fakta yang khusus dan mendalam saya kaitkan dengan ketidakyakinan dengan jawapan yang diberikan itu,” katanya.
Tambah juara beberapa siri pidato termasuk Debat ASEAN 1997, Pidato Piala Diraja Selangor 1990 dan Semarak Merdeka 2019 itu, daripada segi ketenangan wajah ada kelebihan kepada Najib.
“Najib ini kita boleh lihat dia ada tersenyum, ada menjeling sikit. Anwar dia kelihatan berkerut. Dari sudut gaya tangan dan posisi badan, saya terkejut juga, Najib dia punya pergerakan tangan lebih lagi daripada Anwar.
“Penegasan gaya tubuh badan Najib lebih sikit berbanding Anwar. Terutama apabila dia mahu menekankan pada bahagian yang dia mahu beri fokus,” jelas Dr. Norazlina yang berkecimpung dalam dunia perdebatan sejak tahun 1989.
Sementara, Timbalan Ketua Debat Bahasa Melayu Kelab Urus Setia Perucapan Umum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sharifah Umairah Syed Mustafa pula berpandangan, kedua-dua pihak pandai mengawal ekspresi muka.
“Cuma saya lihat Najib, dia banyak terkesan dengan apa yang dikatakan oleh Anwar. Terutama isu tadbir urus, integriti dan sebagainya. Kita lihat reaksi Najib seperti tersenyum atau terkesan dengan Anwar.
“Berbeza dengan Anwar yang lebih mengawal ekspresi muka. Dalam debat adalah penting untuk kita kawal ekspresi supaya pihak lawan tidak dapat mengesan bahawa kita terkesan dengan apa yang mereka lontarkan,” katanya.
Mahasiswa Sains Politik itu pernah menjuarai beberapa pertandingan pidato termasuk Debat Johor 2021.
Kenapa Anwar dapat perhatian audiens?
Tidak dapat dinafikan ucapan Anwar mendapat perhatian audiens malam tadi. Bila Anwar berucap, kedengaran audiens memberikan lebih reaksi berbanding Najib.
Dr. Norazlina berkata, terdapat perbezaan pemilihan perkataan dan gaya bahasa yang digunakan oleh Anwar dan Najib yang mengundang reaksi audiens.
Katanya, Anwar bijak menggunakan bahasa kiasan dan sindiran. Kaedah ini mampu menarik perhatian penonton berbanding Najib yang menggunakan bahasa langsung.
“Sedap didengar itu bukan bermakna berfakta, tetapi audiens suka. Macam dia guna teknik menyindir. Orang yang faham akan gelak masa itu. Contoh dia kata ‘memang kek itu besar, tapi janganlah makan seorang’. Audiens suka!
“Berbeza dengan Najib. Najib bercakap terus terang. Itu Najib. Saya nampak dari aspek bahasa kita tahu semalam kalau tengok permainan bahasa Anwar memang lebih,” jelas Dr. Norazlina.
Najib kemukakan fakta dan contoh
Kedua-dua mereka memilih Najib dalam menyampaikan fakta yang lebih menyakinkan ketika berbahas terutama berkaitan isu Sapura Energy Bhd.
Menurut Dr. Norazlina, dalam pemberian fakta, Najib dilihat lebih banyak memberikan contoh dalam setiap isu yang didebatkan.
“Dari segi fakta sama ada betul atau tidak itu bukan tugas saya (menentukan). Cuma saya melihat Anwar kurang menjawab soalan. Dia menjawab tetapi tidak menuju kepada isu yang dibincangkan.
“Najib dalam tempoh masa yang diberikan, bukanlah terus menjawab tetapi memberikan perkaitan lebih kepada isu yang dibincangkan dan turut memberikan contoh berbanding Anwar. Anwar bagi saya dia bercakap secara umum,” kata Dr. Norazlina.
Sementara Sharifah Umairah juga bersetuju, Najib kelihatan lebih bersedia dalam membahaskan isu Sapura.
“Untuk pusingan pertama, nak tak nak kita kena kreditkan perdebatan semalam kepada Najib lebih bersedia daripada segi hujah dan penyediaan fakta berbanding Anwar.
“Kalau kita dengar memang idea dan konsep yang dibawa (oleh Anwar) adalah baik dan tepat tapi masalahnya adalah dari segi pengukuhan fakta.
“Tapi berbeza dengan Najib, dia bawakan (idea) macam mana nak selamatkan Sapura. Ada cara dan kaedah. Bila dia sebut dana, ada angka yang tetap. Daripada situ kita boleh nampak pihak mana yang lebih bersedia dalam debat berkenaan,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia itu turut tidak teragak-agak untuk memberi ‘markah’ kepada Najib.
“Selalu macam debat semalam itu memang ada margin markah antara kedua-dua pihak. Jadi kalau boleh saya beri satu sahaja margin dia, sebab kedua-dua pihak tak saling menjawab kepada pihak lawan.
“Cuma kredit kepada Najib sebab berfakta dan ada mekanisme bagaimana nak menyelesaikan masalah,” jelas Sharifah Umairah.
Apa pun setiap orang mempunyai penilaian tersendiri, siapa yang lebih bersedia dan menyakinkan dalam membentangkan fakta dan idea.
Dan debat malam tadi sekurang-kurangnya memberi percambahan idea daripada kedua-dua pemimpin untuk memakmur dan memajukan negara.
Perlu ada lebih banyak acara debat antara pemimpin politik bagi memudahkan rakyat memilih mereka yang benar-benar layak menjadi wakil rakyat dan pemimpin negara.-MalaysiaGazette
GST cuma bermanfaat naikkan pendapatan rakyat pribumi di negara ada majority expats seperti tanah kecil Qatar, UAE, dan Kuwait, tetapi GST menyusahkan majority rakyat bumiputras bergaji asnaf terutamanya polis, tentera, dan kerani.
Najib yang merapu dipentas debat kalau tak beri markah malulah bossku . Penyokongnya terpaksa cari jalan dan alasan Najib tetap menang . Tak apa kalah sabung tapi menang sorak . Dapat hadiah kek untok dibahagi pada penyokong2nya yang setia patuh dan taat walau dihina masyarakat