KOTA KINABALU – Gol masa tambahan pemain sayap import Indonesia Saddil Ramdani pada minit ke-111, membawa Sabah FC sebagai pasukan pertama layak ke suku akhir saingan Piala FA musim ini, apabila menewaskan Kelantan United FC dengan jaringan 2-1 malam ini.
Dalam perlawanan di Stadium Likas di sini Kelantan United, sebuah pasukan daripada Liga Premier, berjaya mengimbangi permainan pasukan Liga Super, Sabah, namun dalam permainan yang seimbang itu kedua-dua pasukan gagal menyudahkan deretan peluang terhidang.
Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-41 apabila penyerang import Jepun Taiki Kagayama, yang bijak menafaatkan bola ‘melantun’ apabila penjaga gol lawan Mohammad Fikri Ce Soh gagal menangkap kemas percubaan pemain tengah Sabah, Stuart Wilkin.
Bersambung separuh masa kedua, Kelantan United menggandakan asakan dan berhasil apabila Njoku Jacob menyamakan kedudukan pada minit ke-67, melalui rembatan deras di luar kotak penalti apabila tiga pemain pertahanan Sabah gagal menutup ruang penyerang import Nigeria itu.
Perlawanan diheret ke masa tambahan apabila kedudukan terikat seri 1-1 setelah tamat masa sebenar permainan.
Saddil muncul wira pasukan The Rhinos, apabila berjaya mengelecek dua pemain pertahanan Kelantan United sebelum melepaskan rembatan deras, menghadiahkan gol kemenangan pada masa tambahan minit ke-111.
Kelantan United cuba melakukan tekanan bagi mencari gol saat akhir selepas itu dan dihadiahkan deretan peluang, namun kecemerlangan penjaga gol Sabah, Damien Lim menidakkan percubaan bahaya Kelantan United.
Pengadil Mohammad Zamzaidi Katimin meniupkan wisel akhir perlawanan, membawa Sabah dikemudi jurulatih berpengalaman Datuk Ong Kim Swee ke peringkat Suku Akhir saingan Piala FA musim ini, manakala Kelantan United dilatih bekas pemain pertahanan Perak FC, Syamsul Mohd Saad pulang hampa. – Bernama