SEPANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial (PKS) pada sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, draf RUU PKS itu kini dalam peringkat akhir penggubalan dan pemurniannya dibuat oleh Jabatan Peguam Negara menerusi semakan draf RUU itu yang memerlukan beberapa keputusan melibatkan ketetapan dasar baharu berkaitan profesion tersebut.
Katanya, penggubalan mengenai RUU itu telahpun bermula sejak tahun lepas dan ia perlu dibentangkan di Parlimen sebagai menunjukkan inisiatif kementerian ke arah memartabatkan profesion kerja sosial.
“Di peringkat kementerian kita sedang menggubal Rang Undang-Undang untuk pekerja sosial bagi melihat peranan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) lebih kepada membantu kerja-kerja sosial bukan sahaja membantu memberi bantuan kewangan setiap bulan.
“Kita nak profesion pekerja sosial ini dipertingkatkan dan akhirnya kita nak membantu masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan ziarah kasih ke rumah seorang penerima JKM di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Rina berkata, khidmat kerja sosial yang ditawarkan oleh pekerja sosial secara profesional adalah penting untuk menjamin kepentingan kebajikan masyarakat secara menyeluruh.
Disebabkan itu, jelas beliau, penggubalannya bagi mengiktiraf profesion kerja sosial menerusi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial yang berfungsi bagi mengawal selia profesion kerja sosial melalui pendaftaran dan perakuan amalan pekerja sosial berdaftar, menetapkan piawaian praktis dan pendidikan kerja sosial, menggalakkan pembangunan profesional serta meningkatkan imej profesion kerja sosial di Malaysia.
Tambahnya, penggubalan itu juga ia bakal merubah landskap sosial negara.
Terdahulu, Rina menyampaikan sumbangan kepada ibu dua orang anak, V Thenmoli, yang menderita masalah darah beku sehingga menjejaskan pernafasannya.
Antara bantuan yang diberikan adalah surat kelulusan untuk bangtuan pesakit terlantar yang melayakkan untuk menerima wang bantuan berjumlah RM500 sebulan.
Selain, itu pihak JKM turut akan memantau perkembangan anak-anak Thenmoli termasuk pembiayaan persekolahan dan bantuan kehidupan yang lain.
Sementara itu, Thenmoli ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana ada pihak yang masih sudi untuk mengambil tahu berkenaan situasi dirinya.
Pada masa sama, beliau mengharapkan agar ada pihak yang dapat membantu dirinya dalam mendapatkan kediaman lebih selesa memandangkan dia dan dua anaknya berserta ibu yang telah uzur kini tinggal di rumah sewa yang keadaannya sudah terlalu daif. – MalaysiaGazette