KULAI – Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam di Kampung Melayu Seelong, Senai, dekat sini sebaik sahaja jenazah Iqbal Hasnun Halimi tiba untuk dikebumikan pagi tadi.
Iqbal Hasnun, 23, merupakan antara lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam nahas membabitkan tiga kenderaan berhampiran Terowong Menora di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, tengah malam Rabu lalu.
Airmata anggota keluarga yang mengiringi jenazah Allahyarham menyebabkan orang ramai dan sanak-saudara turut sama berkongsi kesedihan mereka.
“Abang ada dekat syurga,” demikian kata-kata spontan oleh Aisya Humaira, 4, adik Allahyarham sebaik sahaja jenazah selamat dikebumikan jam 7.30 pagi tadi cukup menyentuh hati.
Allahyarham Iqbal Hasnun adalah anak sulung dari empat beradik.
Sebagai anak pertama, Iqbal Hasnun juga seorang abang yang penyayang, sekali gus pemergiannya meninggalkan kesan mendalam kepada adik-beradiknya, kata Iqbal Hamdi, 19 adik kepada Allahyarham.
Iqbal Hamdi yang cukup terkesan dengan kematian abang kesayangannya berkata, dia masih teringat setiap pesanan Allahyarham yang kerap menasihatnya supaya jangan mengabaikan ibu dan bapa mereka.
“Saya akan ingat dan pegang pesan abang,” ujarnya dengan linangan air mata.
Menurut Iqbal Hamdi, abangnya menyimpan impian untuk menjadi seorang guru selepas tamat pengajian di USAS nanti.
“Insya Allah jika ada rezeki saya akan teruskan impian arwah untuk menjadi guru satu hari nanti.
Sementara bapa kepada Allahyarham Iqbal, Halimi Ali Yahad, 50, berkata, meskipun kehilangan anak kesayangan namun dia sekeluarga redha dan bersyukur kerana semua urusan anaknya termasuk proses pengebumian berjalan lancar.
Dia yang cukup sebak sambil menitiskan air mata berkata, keluarganya menghargai setiap doa orang ramai yang mengiringi arwah Iqbal Hasnun selepas nahas tersebut.
“Alhamdulillah, semua selamat. Walaupun perit kami rasa kehilangan dia, namun saya memanjatkan rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan Allah apabila ramai yang berdoa, membaca yassin untuknya. Ia amat bermakna bagi kami kerana ia mempermudahkan semua urusan arwah.
“Jika tidak, kami mungkin perlu menunggu lima hingga enam hari untuk menuntut jenazah namun selepas solat Jumaat semalam, ketiga-tiga jenazah dapat dicam dan dapat dituntut pada hari sama.
“Syukur, syukur kepada Allah permudahkan semua.Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” kata perlahan..
Jenazah Iqbal Hasnun dimandi, dikhafan serta disolatkan di Masjid USAS malam tadi dan kemudian telah dibawa ke rumah keluarga di Taman Impian Jaya, Senai di sini pada jam 6 pagi tadi.
Keluarga Allahyarham kemudian membawa jenazah Iqbal untuk disolatkan sekali lagi di Surau Taman Impian Jaya pada jam 6.40 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan.- MalaysiaGazette