Home Politik UMNO pinda perlembagaan esok

UMNO pinda perlembagaan esok

Para perwakilan menyanyikan lagu sambil mengibarkan bendera parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Satu lagi sejarah bakal tercatat dalam tempoh 76 tahun penubuhan UMNO apabila parti itu akan meminda perlembagaannya esok bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pindaan perlembangaan itu akan dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini yang dihadiri lebih 2,000 perwakilan.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, perhimpunan pada 2 petang itu akan dimulakan dengan ucapan presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia kemudian disusuli pembentangan usul pindaan perlembangaan parti oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ia diserahkan kepada para perwakilan untuk diputuskan namun tiada sebarang perbahasan akan diadakan.

“Selepas itu, presiden parti akan menaikkan bendera UMNO dan memotong pulut kuning bersama-sama kepimpinan yang lain sempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-76 sebelum kemudian menghadiri sambutan Hari Raya UMNO di Dewan Tun Razak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati Dewan Merdeka yang akan menjadi saksi pindaan Perlembagaan UMNO telah disiapkan sepenuhnya selain pusat media juga disediakan di Bilik Mawar WTC KL.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Jika dihitung, tempoh 18 bulan tersebut akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO penggal 2021/2023 perlu diadakan sebelum 30 Dis 2022.

Bagaimanapun, Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lepas bersetuju agar pemilihan parti ditangguhkan sehingga enam bulan selepas PRU15 bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada pilihan raya itu.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan semasa ucapan penggulungan pada perhimpunan itu berkata pihaknya bimbang akan berlaku perpecahan sekiranya pemilihan parti diadakan sebelum PRU15.

Selasa lepas, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata parti itu akan mengemukakan cadangan tarikh mengadakan pemilihan parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), 17 Mei ini. – MalaysiaGazette