Home Politik UMNO berunding dengan RoS agar pindaan perlembagaan dapat kelulusan – Mahdzir

UMNO berunding dengan RoS agar pindaan perlembagaan dapat kelulusan – Mahdzir

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta barisan kepimpinan UMNO yang lain menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, parti akan berunding dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) agar pindaan perlembagaan hari ini mendapat kelulusan.

“Kita hantarlah (pindaan Perlembagaan UMNO) kepada RoS  nanti. Perkara itu kena duduk dan berunding,” katanya ketika ditemui media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul pindaan perlembagaan parti itu dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, RoS tidak mempunyai kuasa untuk menghalang UMNO meluluskan pindaan perlembagaan parti itu.

Beliau yakin tiada masalah untuk RoS meluluskan pindaan perlembagaan UMNO bagi memasukkan penangguhan pemilihan parti selama enam bulan selepas pilihan raya umum.

“RoS tidak sepatutnya ada halangan. RoS tak boleh kuasai parti. RoS hanya pantau sama ada kita ikut perlembagaan atau tidak,” katanya.- MalaysiaGazette