Home Nasional 80 pengunjung Air Terjun Asahan terperangkap bencana kepala air

80 pengunjung Air Terjun Asahan terperangkap bencana kepala air

Sebahagian daripada 60 pengunjung Air Terjun Asahan berhampiran Laman Tiga Budaya, Jasin, Melaka yang berjaya diselamatkan susulan terperangkap dalam bencana kepala air tengah hari tadi.

JASIN – Hasrat kira-kira 80 pengunjung untuk berkelah di Air Terjun Asahan berhampiran Laman Tiga Budaya di sini berakhir tragedi apabila terperangkap dalam bencana kepala air susulan hujan lebat sejak tengah hari tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Mohd Rizuan Suliman, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin berkata, setakat pukul 3.40 petang, seramai 60 orang daripada mereka berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

Menurutnya, baki 20 orang lagi masih berada di atas gunung berkenaan untuk meneruskan perkelahan namun polis dan bomba menasihati mereka agar membatalkan hasrat itu.

“Kita menerima panggilan kejadian pukul 1 tengah hari tadi sebelum tiba 37 minit kemudian bersama pihak polis sebelum mendapati kira-kira 80 mangsa terperangkap akibat kejadian kepala air.

“Setakat pukul 3.40 petang tadi, seramai 60 mangsa telah berjaya dibawa turun tanpa sebarang kecederaan dengan cara meredah air sambil dipantau pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota bomba menasihati pengunjung Air Terjun Asahan berhampiran Laman Tiga Budaya, Jasin, Melaka supaya menyelamatkan diri susulan kejadian bencana kepala air tengah hari tadi.

Bagaimanapun, jelasnya, masih terdapat kira-kira 20 lagi pengunjung terperangkap dan berhasrat untuk meneruskan perkelahan di air terjun terbabit.

“Pihak polis dan bomba kini sedang mendaki air terjun berkenaan untuk menasihati pengunjung supaya pulang demi keselamatan mereka,” katanya.- MalaysiaGazette