Home Utama Berebut pengundi, pemilihan PKR Cabang Bayan Baru kecoh

Berebut pengundi, pemilihan PKR Cabang Bayan Baru kecoh

Lokasi Pemilihan PKR Cabang Bayan Baru di Spice Arena, Pulau Pinang kecoh dipercayai akibat berebut pengundi.

BAYAN LEPAS – Pemilihan PKR Cabang Bayan Baru yang berlangsung di Spice Arena di sini hari ini kecoh dipercayai akibat perebutan pengundi antara penyokong calon ketua cabangnya, Sim Tze Tzin dan Datuk Abdul Halim Hussain.

Kekecohan termasuk bertikam lidah sesama sendiri itu berlangsung kira-kira lima minit.

Bagaimanapun, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sebelum ia dileraikan oleh penyokong kem masing-masing.

Menurut seorang peraih undi yang terbabit dalam kekecohan dan enggan namanya didedahkan mendakwa seorang lelaki cuba ‘mencuri’ pengundinya.

Penyokong masing-masing meleraikan pertikaman lidah serta kekecohan yang berlaku semasa Pemilihan PKR Cabang Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.

“Mereka mahu ambil pengundi kita baru sampai masuk kumpulan mereka. Mana boleh,” dakwanya.

Sementara itu, Tze Tzin mengakui berlaku sedikit kekecohan namun ia hanya membabitkan perselisihan faham sahaja.

“Pemilihan hari ini merupakan persaingan antara persahabatan jadi kita nak senangkan semua pengundi.

“Mungkin orang muda tak tahu budaya Parti Keadilan tapi tak apa saya telah maklumkan pada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR selain memohon Datuk Halim untuk mengawal penyokongnya,” katanya.

Pemilihan PKR bermula pada Jumaat untuk memilih pemimpin mereka bagi tempoh tiga tahun sehingga 2025.

Pemilihan kali ini tertumpu kepada jawatan timbalan presiden yang ditandingi Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail.

Peringkat cabang bagi Pulau Pinang, pertembungan antara ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Exco kerajaan negeri, Halim bagi jawatan ketua cabang Bayan Baru antara diberi tumpuan.

Keputusan bagi kepimpinan cabang akan diumumkan pada 23 Mei ini manakala jawatan timbalan dan naib presiden pada 26 Jun iaitu sehari selepas kongres kebangsaan parti berkenaan pada 24 dan 25 Jun. – MalaysiaGazette