KUALA LUMPUR – Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 38 peratus secara keseluruhan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 berbanding ME 18/2022.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah menjangkakan kenaikan kes akan berlaku selepas perayaan hari raya yang disambut pada minggu lalu.
Menurutnya, jumlah pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 100 peratus iaitu daripada 1 per 100,000 penduduk kepada 2 per 100,000 penduduk.
Jumlah pesakit kategori 3,4, dan 5 juga meningkat sebanyak 100 peratus iaitu daripada 1 per 100,000 penduduk kepada 2 per 100,000 penduduk.
“Untuk makluman, kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan,” kata Dr. Noor Hisham dalam satu kenyataan.
Katanya, bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 87.4 peratus.
Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 153.4 peratus dan bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 28.2 peratus.
Tambahnya, tren kes aktif Covid-19 di bawah pemantauan CAC Maya pada ME 19/2022 juga meningkat sebanyak 162.4 peratus iaitu 35,167 kes kepada 13,400 kes berbanding ME 18/2022.
“Melihat kepada peningkatan yang mendadak kepada hampir ke semua indikator-indikator berkaitan Covid-19, Kementerian Kesihatan ingin terus menasihatkan semua penduduk Malaysia untuk sentiasa mengikuti nasihat-nasihat yang disarankan oleh kerajaan dalam mengawal dan mencegah penularan jangkitan Covid-19 dalam Fasa Peralihan ke Endemik ini.
“Kenaikan ini dijangka akan meningkat lagi terutama sekiranya masyarakat terus tidak mematuhi nasihat-nasihat dan ketetapan peraturan semasa,” kata Dr. Noor Hisham.
Ketika ini terdapat 29,762 kes aktif di seluruh negara dengan 56 kluster aktif. Sementara jumlah kematian yang direkodkan adalah sebanyak 35,612 kes. – MalaysiaGazette