KUANTAN – Bermula hanya memasang niat mencari rezeki halal dengan tawaran elaun sebanyak RM500 sebagai guru orang kelainan upaya (OKU) sejak 1 Disember 1997 – tugas itu setia digalas sehingga kini dengan penuh dedikasi.
Bagi pendidik, Zahariah Azhar, nilai elaun itu bukan ukuran kerana baginya berkhidmat dengan organisasi tersebut merupakan fardu kifayah memperjuangkan nasib anak istimewa.
Zahariah, 52, memulakan perkhidmatan sebagai petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) selama 25 tahun kini menggalas tanggungjawab sebagai penyelia PDK dan memimpin enam petugas serta 46 anak OKU.
“Bukannya duit nilai ukuran, jika kita sedar diri makan gaji sewaktu itu, sememangnya cukup untuk menampung sekeluarga. Yang penting kita dapat keberkatan dari pekerjaan di dunia bagi bekalan akhirat.
“Bermula gaji RM500, kemudian RM800 dan dinaikkan menjadi RM1,200 sehingga kini menjadi RM1,500 adalah elaun yang diberikan melalui geran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kami sangat bersyukur diberi kepercayaan.
Jelas ibu anak empat itu, tanggungjawab yang digalas setara dengan guru Kementerian Pendidikan (KPM) bahkan mempunyai misi yang lebih besar bagi mendidik anak istimewa berdikari dalam pengurusan diri.
Bermula sebagai petugas PDK Teruntum sehingga 2010, beliau seronok menyumbang bakti kemudian mendapat kenaikan pangkat menjadi penyelia PDK Kompleks Penyayang Kuantan sampai sekarang pernah dianugerahan tokoh pekerja cemerlang.
Isteri merupakan isteri Azahar Yaakob, 54 tahun berkongsi sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau bangga apabila anak didiknya berjaya menempatkan diri ke Sekolah Pendidikan Khas di bawah KPM.
“Jadi petugas PDK ini bukan setakat cikgu, mengasuh pun kami buat sampai dia (pelatih PDK) boleh urus diri, skop kerja kami termasuk mendidik serta kekeluargaan pun ada.
“Tugasan utama bagi memastikan anak-anak ini dapat menguruskan diri di tandas misalnya selain membuat terapi bagi dan melatih mereka meningkatkan kemahiran motor halus serta kasar dalam pemikiran.
“Paling sedih tetapi redha dengan pemergian seramai lapan anak syurga anak didik yang telah kembali ke rahmatullah apabila sampai ajal mereka,” katanya hiba ketika ditemui MalaysiaGazette.
Tambah Zahariah, antara cabaran yang dilalui kini apabila mengurusan pelatih PDK ketika mendepani musim pandemik Covid-19 dengan mengaplikasikan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Beliau juga mengakui tanggungjawab JKM dalam mendidik komuniti OKU dengan memberi peluang kepada barisan pertugas berkecimpung dalam menjaga kebajikan orang cacat sejak menjalankan Projek Perintis PDK di Mukim Batu Rakit, Kuala Terengganu pada tahun 1984.
Zahariah berkata, JKM juga banyak melakasanakan pembaharuan serta melihat sumbangan perkembangan dengan memberi kemahiran dan kursus kepada petugas.
Beliau yang dilahirkan pada 2 Julai 1971 telah melanjutkan pelajarannya melalui Sijil Kemahiran Vokasional Tahap 3 dalam bidang Operasi Pengurusan PDK berhasrat ingin meneruskan tugasnya selagi terdaya. – MalaysiaGazette