Home Nasional Pegawai khas MB Selangor tegur pemimpin UMNO kritik isu banjir

Pegawai khas MB Selangor tegur pemimpin UMNO kritik isu banjir

Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Saifuddin Safi dan calon Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan bercakap dengan penduduk setempat banjir di Kerling, Hulu Selangor.

HULU SELANGOR – Pemimpin politik diminta supaya tidak galak mencari bahan untuk dimuat naik dalam aplikasi sosial terutama ketika rakyat menghadapi musibah sebaliknya bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

Itu antara nasihat Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad kepada Ketua UMNO Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Dahalan yang dilihat cepat menulis di Facebook berhubung insiden banjir di kawasan itu.

Kata Saifuddin, tidak benar dakwaan tidak ada pemimpin dan wakil kawasan yang turun di kawasan di Kuala Kubu Baru dan Batang Kali yang terjejas banjir teruk selepas hujan berterusan lewat petang tadi.

“Tidak betul, semua wakil turun. Mungkin tidak ada gambar sahaja. Saya sendiri selepas mendapat panggilan terus bergegas turun kawasan, pantau terlebih dahulu. Kita kena keluarkan dulu orang-orang dari kawasan kediaman terlebih dahulu terutamanya tempat yang airnya sudah naik sehingga paras pinggang.

“Selepas itulah baru perancangan keperluan boleh di lakukan, kita kenalpasti mangsa dulu. Lokasi untuk mereka bermalam, makanan kering tidak boleh di agihkan malam ini, hanya makanan untuk makan malam dulu serta keperluan lain.

“Menteri Besar sendiri hendak turun kawasan sebenarnya, telefon saya tidak berhenti berbunyi sejak tadi. Kita sedang lakukan kordinasi dengan pihak berwajib serta lain-lain dengan kadar segera,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Saifuddin, tindakan pemimpin tempatan membuat teguran di laman sosial adalah tidak betul kerana beliau sepatutnya membantu mangsa banjir daripada membuat kenyataan di media sosial.

“Saya juga tidak nampak beliau di mana-mana, mungkin sibuk di tempat lain tetapi tidaklah saya buat tuduhan melulu.

“Saya baru sahaja bertembung dengan Ahli Parlimen Hulu Selangor, YB June di Kerling. Beliau turun bertanya keperluan penduduk terjejas di Kg Jawa Kerling sebentar tadi, saya pula bersama calon Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash turut hantar sumbangan dan keperluan untuk malam ini.

“Jadi kami semua bekerja, semua sedang sibuk lakukan apa yang patut. Tolonglah jangan tulis sesuatu di laman Facebook untuk apa jua sebab tanpa siasatan, jangan buat rakyat yang sedang di landa musibah jadi lebih bimbang.

“Jangan main tulis dan ambil kredit usaha orang lain, tolonglah. Kalau tidak membantu tidak apa, jangan cuba menyusahkan pihak lain yang sedang berusaha itu. Jangan teriak yang bertujuan comeback sahaja,” katanya.

Sebelum itu, Mat Nadzari memerli wakil rakyat Hulu Selangor dan Kuala Kubu Baru yang didakwanya tidak ada di mana-mana lokasi banjir teruk di beberapa kampung antaranya Kampung Jawa, Kampung Pasir dan Estet Kerling.

Dalam pada itu, kata Saifuddin yang juga Penyelaras Dewan Undangan Batang Kali (DUN), pihaknya sedang menagihkan sumbangan makanan serta keperluan lain pada masa ini kerana tidak banyak perkara boleh di lakukan kerana hari sudah gelap.

“Sudah gelap, elektrik juga sudah terputus. Ada juga keluarga yang masih tunggu di rumah masing-masing walaupun kita minta mereka keluar. Air sudah mula surut tetapi keadaan gelap agak merbahaya untuk apa-apa usaha ketika ini.

“Kita akan mula agih serta kerah tenaga pada esok hari. Setakat berdaftar dengan kita yang terjejas teruk adalah 4 keluarga dengan jumlah 17 orang, antaranya warga emas, kanak-kanak, bayi. Kita akan dapat maklumat penuh esok,” ujarnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

20 rumah Kampung Jawa Kerling dilanda banjir