Home Seni Hidup Siti Nurhaliza muncul dengan Medley Klasik Siti 2

Siti Nurhaliza muncul dengan Medley Klasik Siti 2

Pengasas kosmetik, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi berkolaborasi dengan Shopee menerusi penghasilan video muzik rangkaian lagu kanak-kanak klasik berjudul Medley Klasik Siti 2.

Video yang telah pun ditayangkan pada 9 Mei lalu di saluran Youtube Siti Nurhaliza menyaksikan antara koleksi lagu popular kanak-kanak seperti Air Pasang Dalam, Lagu Tiga Kupang, Anak Odeng dan Kalau Rasa Gembira.

Menurut Siti dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, lagu-lagu itu menjadi hafalan kanak-kanak generasi dahulu dan masih diperkenalkan sehingga kini selain muzik video paparan animasi yang dihasilkan bagi menarik minat kanak-kanak untuk menonton.

“Video muzik dalam bentuk animasi suka ditonton oleh kanak-kanak dan ini merupakan salah satu cara untuk saya memperkenalkan lagu kanak-kanak klasik kepada generasi kini.

”Saya menghasilkan album kanak-kanak ini sebagai khazanah muzik untuk generasi kini dan akan datang dapat menghargai karya terdahulu.

“Saya gembira kerana dapat menerbitkan album yang boleh dijadikan rujukan pada masa depan. Lagu-lagu ini jugalah yang menjadi dendangan orang tua kita satu masa dahulu,” katanya.

Jalan ceritanya pula mengisahkan pada tahun 2170 apabila bumi tidak lagi selamat untuk didiami.

Kisah tentang seorang pemuda yang sedang bersenam di sebuah taman rekreasi hologram berpengkalan di angkasa secara tiba-tiba memasukidalam satu dimensi teleportasi masa lalu di bumi.

Di alam dimensi masa lepas ini, pemuda tersebut dapat melihat keindahan flora dan fauna dan juga suasana kampung yang wujud di masa lepas.

Untuk info, kerjasama kedua-dua pihak ini telah bermula sejak tahun 2018 apabila Siti menyertai Shopee Celebrity Squad Malaysia dan berkolaborasi menerusi konsert mini beliau bersama Shopee pada tahun 2019.

Siti juga telah dilantik sebagai duta tempatan platform Shopee semasa kempen Ramadan dan Raya Bersama Shopee pada tahun ini. – MalaysiaGazette