Home Politik Tun M pernah pinda Perlembagaan UMNO, negara berkali-kali – Shahril

Tun M pernah pinda Perlembagaan UMNO, negara berkali-kali – Shahril

Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Dakwaan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya UMNO tidak menghormati perlembagaan parti apabila memindanya bagi meluluskan usul menangguhkan pemilihan kepimpinan ditempelak.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata,  Mahathir juga telah melakukan perkara sama meminda Perlembagaan UMNO ketika menjadi presiden parti itu.

“Saya tak merasakan UMNO perlu menjustifikasi tindakan dalaman kepada parti saingan tetapi disebabkan yang bersuara kali ini juga bekas Presiden UMNO, mungkin ada baiknya saya ingatkan.

“Ini bukan kali pertama pindaan Perlembagaan UMNO telah dilakukan. Semenjak 1987 hingga kini, pindaan perlembagaan telah dilakukan tiga kali,” katanya.

Menurut Shahril, Mahathir telah meminda Perlembahaan UMNO dengan memperkenalkan sistem 10 undi bonus bagi setiap pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1987.

Kemudian 11 tahun kemudian iaitu pada 1998, Mahathir sekali lagi meminda Perlembagaan UMNO untuk memperkenalkan sistem kuota pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti diperkenalkan.

“Adakah bermaksud kepimpinan waktu itu tak hormat perlembagaan parti?” sindir Shahril.

Tambahnya, Mahathir turut meminda Perlembahaan Persekutuan sebanyak 24 kali ketika menjadi Perdana Menteri.

“Kali pertama Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 23 kali termasuk tahun 1988 di mana terjadinya krisis Perlembagaan.

“Kali kedua Tun menjadi Perdana Menteri, Perlembagaan Persekutuan dipinda satu kali. Adakah ini juga bermaksud tak hormat perlembagaan negara sendiri? Sudah tentu jawapan kepada semua diatas: tidak,” katanya.

Menurut Shahril, perlembagaan sesebuah organisasi boleh dipinda mengikut kesesuaian sesuatu waktu dan akan dipinda  dari masa ke semasa selagi tidak lari dari semangat dan roh perjuangan parti tersebut.

Tambahnya, meminda perlembagaan parti lebih baik berbanding ‘berpindah’ parti berkali-kali.

Media hari ini melaporkan, Mahathir mendakwa UMNO tidak menghormati perlembagaan parti apabila meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Pengerusi Pejuang itu turut mempersoalkan tempoh penangguhan pemilihan UMNO.

“Mereka tahu kalau ada pemilihan akan berpecahlah UMNO. Jadi, mereka ambil jalan senang mempengaruhi kerajaan supaya tangguh pemilihan.

“Ini kalau dalam jangka pendek tak apalah. Ini sampai berapa bulan hendak tangguh. Itu bermakna kita tidak menghormati perlembangaan kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Dataran Telaga Walk, Pantai Chenang hari ini.

Semalam perwakilan UMNO meluluskan sebulat suara pindaan Perlembagaan UMNO untuk menangguh pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

UMNO tak hormat perlembagaan parti sendiri – Tun M