KUALA LUMPUR – Prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlangsung hari ini dalam keadaan tegang apabila bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh bertikam lidah dengan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Pada prosiding itu, Shafee bertanya kepada Mohd Bakke adakah beliau sebenarnya konsisten dengan keterangan yang diberikan olehnya kepada mahkamah itu sama sama dalam keterangannya dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016 mengenai 1MDB.
Kata Mohd Bakke, banyak perkara yang tidak dimasukkan dalam laporan itu semasa prosiding PAC.
“Apa yang anda baca dalam laporan PAC tidak bermakna keterangan itu mewakili saya. Saya ada nyatakan empat perkara yang tidak disebut dalam laporan akhir PAC itu,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Bakke yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah 1MBD meletak jawatan kerana berpandangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib terlibat dalam salah laku kewangan 1MDB.
Ketika Najib masih menjadi Perdana Menteri, Mohd Bakke bersama beberapa individu memberi keterangan kepada PAC berhubung dakwaan tentang penyelewengan dana 1MDB.
Shafee terus mengasak saksi ke-15 itu berhubung keterangan pada prosiding terutamanya mengenai punca beliau meletakkan jawatan.
Shafee: Dalam keterangan sebelum jika dilihat kembali, anda nyatakan sudah hilang sabar, rasa marah dengan pengurusan kerana enggan patuh arahan Lembaga Pengarah. Anda juga kata anda tidak patut letak jawatan?
Mohd Bakke: Tidak. Saya tidak berkata demikian. Anda sengaja membuat saya berkata sesuatu di sini. Saya tidak tahu langsung dari mana kamu dapat keterangan itu. Saya rasa ingatkan saya masih baik lagi. Saya kata saya tidak sepatutnya berkhidmat sebagai Pengerusi 1MDB.
Shafee: Saya mungkin lebih tua dari kamu tapi saya amat pasti kamu sebut itu. Jangan cuba ajar saya di sini.
Keadaan menjadi lebih panas apabila Shafee bertanya soalan adakah Mohd Bakke berpegang dengan keterangan prosiding PAC.
Mohd Bakke: Boleh saya cakap sesuatu Yang Arif?
Shafee: Anda jawab sahaja ya atau tidak.
Ketika itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta Mohd Bakke menjawab soalan peguam bela itu.
Collin: Anda perlu jawab soalan peguam.
Shafee: Ingat ya, ini bukan Petronas tapi ini adalah mahkamah perundangan.
Mohd Bakke: Saya perlu jelaskan sesuatu dulu.
Shafee: Anda boleh jelaskan kemudian, jawab ya atau tidak dulu.
Mohd Bakke: Ada keterangan saya yang tidak dilaporkan dalam ini. Bahagian paling penting tidak disertakan.
Shafee: Adakah anda terima cadangan saya bahawa anda bersetuju dengan apa yang telah di rekodkan dalam keterangan PAC itu?
Mohd Bakke: Saya tidak ada kuasa apa yang telah dikeluarkan pada laporan PAC. Jika keterangan itu telah direkodkan maknanya semua ini tidak berlaku. Ada empat perkara perkara tidak disebutkan dalam laporan itu.
Shafee: Anda tahu tidak anda seorang saksi? Sepatutnya jawab ya atau tidak tetapi anda lebih defensive seperti anda yang dituduh. Saya tidak tanya soalan, sebaliknya anda sedang beri saya jawapan.
Pada akhir prosiding hari ini, Mohd Bakke mengakui terdapat kemungkinan Najib telah dikelirukan oleh pengurusan 1MDB.
Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette
Ketika ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM2.3 bilion-MalaysiaGazette