MERSING – Sebanyak 20 nelayan warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dikesan menceroboh perairan negara ini semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, pihaknya turut merampas hasil tangkapan dianggarkan seberat 9,000 kilogram (kg) selain kira-kira 11,500 liter diesel dalam Op Khas Pagar Laut dan Op Bersepadu.
Beliau berkata, mereka didakwa menceroboh perairan negara di kedudukan lebih kurang 7.9 batu nautika dari timur laut Pulau Pemanggil di sini serta merampas dua bot serta peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM3 juta.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 20 nelayan termasuk tekong kedua-dua bot yang berumur 16 hingga 52 tahun itu gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.
“Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3 juta dan kesemua nelayan terbabit dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khairul Nizam berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959 atau 1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan kegiatan jenayah boleh menghubungi talian kecemasan melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor dengan menelefon 07-219 9404,” katanya. – Bernama