Home Nasional JAKIM tak kompromi loji penyembelihan langgar integriti – Idris

JAKIM tak kompromi loji penyembelihan langgar integriti – Idris

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan untuk menggantung sementara loji penyembelihan di Australia sehingga siasatan selesai dan kerajaan berpuas hati dengan keputusan diperoleh.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan untuk menggantung sementara loji penyembelihan di Australia sehingga siasatan selesai dan kerajaan berpuas hati dengan keputusan diperoleh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, terdapat 16 loji penyembelihan di negara itu yang mendapat pensijilan halal dari JAKIM.

“Kita telah buat keputusan drastik untuk menggantung loji penyembelihan yang kontroversi ini sehingga siasatan selesai. Saya juga telah berhubung dengan pegawai kita di sana untuk mendapatkan penjelasan bagaimana operasi dilakukan.

“Bahkan, pegawai kita di sana turut mengenali individu yang menyalurkan maklumat mengenai penyalahgunaan yang berlaku di loji itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Aplikasi Digital YaPEIM (DiYa) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan JAKIM menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia berkuat kuasa serta merta sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilaporkan berkata, pada masa sama, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu akan diberi surat tunjuk sebab dan berdepan dibatalkan status badan pensijilan halal yang diiktiraf JAKIM, sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Menurut Idris, sehingga kini pihaknya masih gagal menghubungi individu berkenaan dan terpaksa mendapatkan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk memujuknya supaya tampil membantu siasatan.

“Sampai hari ini kita nak hubungi mereka yang buat (dedah maklumat) itu supaya muncul ke depan, tidak dapat dan saya telah pun menghubungi PPIM dengan memberikan nombor untuk dihubungi.

“Kita mahu individu yang dikenali sebagai Abdullah (bukan nama sebenar) ini menghubungi JAKIM untuk menceritakan secara terperinci dan telus apa yang berlaku.

“Kalau berlaku soal melibatkan integriti dan sebagainya, kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Mengenai kuota haji, Idris berkata, panggilan pertama mengikut senarai yang disediakan Tabung Haji telah ditutup pada 9 Mei lalu dan dibuka sehari selepas itu bagi panggilan kedua.

“Menerusi surat panggilan pertama, kita mendapat maklum balas, ada jemaah yang terpaksa menolak ke Mekah tahun ini atas sebab masalah kesihatan.

“Maka, kita buka peluang ini kepada jemaah bagi surat panggilan kedua yang dibuka pada 10 Mei lalu.

“Setakat ini, belum ada angka tepat jumlah yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah menerusi dua surat panggilan itu,” kata beliau. – MalaysiaGazette