Home Sukan Newcastle United ranapkan impian Gunners

Newcastle United ranapkan impian Gunners

Impian arsenal tamatkan saingan liga di tempat keempat diranapkan Newcastle United dalam aksi liga di St james Park awal pagi tadi. Foto Kredit Getty Images BBC Sport.

LONDON – Impian Arsenal untuk menamatkan saingan di tempat keempat dalam Liga Perdana Inggeris musim ini hancur.

Ini selepas skuad kendalian Mikel Arteta kecundang 2-0 di tangan Newcastle United dalam aksi yang berlangsung di St James Park awal pagi tadi.

Ia sekaligus meranapkan peluang mereka untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim 2022/2023.

ia merupakan keputusan yang tidak dijangkakan penyokong the Gunners yang telah merekodkan kemenangan konsisten termasuk 3-1 ke atas Manchester United di Emirates Awal Mei ini.

Anak buah Arteta hanya memerlukan dua kemenangan atau enam mata untuk memintas pesaingan terdekat mereka Tottenham Hotspurs bagi mengesahkan tempat keempat dalam liga domestik itu.

Kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama perlawanan.

Malangnya, tuan rumah mempamerkan aksi sangat tersusun dan agresif terhadap pengunjung sehingga memaksa Ben White menjaringkan gol ke gawang sendiri selepas ditekan oleh Callum Wilson pada minit ke-55 separuh masa kedua.

Dengan berbekalkan gol pertama itu, Magpies terus mempamerkan aksi serangan bertubi-tubi di gawang Arsenal sebelum Bruno Guimaraes membuka gol kedua dan juga kemenangan untuk tuan rumah pada minit ke-85 bagi mengesahkan tiga mata penuh.

Arsenal telah memperolehi beberapa peluang untuk membuka jaringan di gawang tuan rumah namun menjadi sia-sia.

Chelsea sudah mengesahkan tempat ketiga dalam liga dan Tottenham juga dilihat akan menamatkan saingannya di tempat keempat kali ini.

Bagaimanapun, Arsenal dilihat masih berpeluang untuk menamatkan saingan di tempat keempat dengan mereka wajib menewaskan Everton dalam aksi terakhir liga musim ini dan Tottenham perlu kalah kepada pasukan yang tersingkir dari EPL, Norwich pada Ahad nanti. – Agensi

https://www.bbc.com/sport/football/61375035