KUALA LUMPUR – Pelabur asing bertukar pembeli dalam pasaran Bursa Malaysia selepas seminggu melakukan jualan bersih di Bursa Malaysia minggu sebelumnya dengan suntikan berjumlah RM56.9 juta untuk minggu berakhir 13 Mei lalu.
Manakala pelabur runcit juga kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kelima berturut-turut sebanyak RM234.8 juta sementara pelabur institusi bertukar menjadi penjual bersih dengan merekodkan aliran keluar RM291.8 juta minggu lalu selepas seminggu melakukan belian.
MIDF Research berkata, sehingga kini, pelabur antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 15 daripada 19 minggu pada tahun ini 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.98 bilion.
Pelabur asing menjadi penjual bersih pada hari Rabu dan Khamis, masing-masing sebanyak RM2.08 juta dan RM145.2 juta.
Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi pula adalah penjual bersih pada semua hari dagangan dalam seminggu, kecuali pada hari Khamis yang mana mereka menjadi pembeli bersih dengan belian RM41.38 juta.
Jualan bersih tertinggi dicatatkan pada hari Selasa sebanyak RM200.67 juta dan jualan bersih terkecil pada hari Rabu berjumlah 40.44 juta.
Pelabur institusi merupakan penjual bersih dalam tempoh 16 daripada 19 minggu pada tahun ini dengan nilai jualan RM8.1 bilion ekuiti.
Menurut MIDF Research, pelanur runcit pula merupakan pembeli bersih pada semua hari dagangan dalam seminggu dengan belian bersih tertinggi pada Khamis sebanyak RM103.83 juta dan belian bersih terkecil pada hari Selasa dengan RM21.34 juta.
Dari segi penyertaan, pelabur asing dan pelabur runcit masing-masing menyaksikan penurunan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 24.76% dan 6.9%.
Pelabur institusi tempatan pula merekodkan mencatatkan peningkatan sebanyak 9.49%. – MalaysiaGazette