KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 20 pemilik tanah di sekitar Ampang terutamanya di Kampung Baru Ampang di sini terkejut apabila tanah milik mereka telah diberikan geran pemilikan kepada pihak ketiga.
Malah lebih mengejutkan apabila rata-rata pembeli kedua itu berjaya mendapatkan pinjaman bank bagi membeli tanah-tanah tersebut kononnya terbiar atau dijual oleh pemilik tanah kepada pihak ketiga.
Bagaimanapun perkara tersebut terbongkar apabila salah seorang daripada mangsa mendapat tahu tanah miliknya di sebuah kawasan perindustrian telah dijual kepada pihak ketiga tanpa pengetahuannya baru-baru ini.
Menurut mangsa, Datuk Seri Song Teik Sun, tanah itu yang dibeli olehnya sekitar tahun 90-an dengan nilai RM130,000 dan kini bernilai kira-kira RM3 juta telah diberikan geran baharu dan pemilik ‘baharu’ itu telah bertindak mengusir penyewa beliau.
“Saya memang terkejut. Bagaimana ini boleh berlaku tanpa pengetahuan saya? Malah pemilik baharu itu bukan sahaja menunjukkan saya geran dari pejabat tanah, sebaliknya juga telah mendapat pinjaman dari bank bagi pembelian tanah itu.
“Hanya nombor lot sahaja berbeza tapi tanah itu tanah saya. Bank beri pinjaman kepada peminjam baharu itu dengan sangkaan ianya untuk dijual oleh pemiliknya.
“Saya telah membeli tanah itu pada tahun 1993 dan saya telah menduduki tanpa sebarang masalah, kemudian saya buat pajakan 99 tahun dan tahun lepas saya roboh bangunan lama kemudian membina gudang dua tingkat di situ sebelum menyewa kepada orang lain.
“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga telah berikan sijil layak menduduki. Tiba-tiba enam bulan lepas saya terima surat pengusiran dari peguam wakil dua orang yang dakwa itu tanah mereka, satu bidang tanah dengan lot berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media anjuran Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong di Wisma MCA.
Dalam pada itu, Michael Chong mendedahkan pihaknya telah mendengar aduan sama melibatkan sekurang-kurangnya hampir 20 orang di kawasan Kampung Baru Ampang.
“Mereka ini golongan yang telah menduduki tanah itu atas hak milik pajakan atau lesen pendudukan sementara (TOL). Rata-rata telah menetap begitu lama, ada pernah tinggal sehingga 100 tahun. Namun kini ada pula pihak ketiga tuntut tanah itu.
“Kita pernah dengar isu seperti ini dulu tapi nampaknya semakin lama semakin berleluasa. Saya mohon sangat kepada semua supaya sentiasa tanya dulu pemilik atau sesiapa yang duduki sesebuah tanah sebelum hendak beli. Semak betul-betul.
“Kita mohon pihak berwajib tolong siasat sindiket ini. Ada geran dikeluarkan, bagaimana ini berlaku? Kepada yang sudah menduduki tanah masing-masing, tolong bayar cukai pintu juga,” ujarnya. – MalaysiaGazette