Home Politik Tun M mahu saman jika Zahid tak tarik balik kenyataan status keturunannya

Tun M mahu saman jika Zahid tak tarik balik kenyataan status keturunannya

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi mengenai status bangsa dirinya dan sedang mempertimbangkan untuk tindakan mahkamah.

Kenyataan Ahmad Zahid menerusi ucapan perasmian majlis penutup mesyuarat Bahagian UMNO Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 sebagai Naib Presiden UMNO telah menyebut mengenai status bangsa Mahathir yang berketurunan India.

Memegang portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ahmad Zahid telah menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir yang memaparkan namanya sebagai Mahathir A/L Iskandar Kutty.

Menjawab kepada tuduhan itu, Mahathir menerusi hantaran di Facebooknya hari ini mencabar Ahmad Zahid mengemukakan bukti tentang identitinya.

“Saya juga sedang pertimbang untuk ambil tindakan undang-undang kerana pembohongan Ahmad Zahid yang memfitnah saya.

“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” katanya.

Jelasnya, kenyataan Ahmad Zahid hanya mahu mempertikai kelayakan Mahathir memimpin UMNO, parti-parti Melayu yang lain dan seterusnya orang Melayu keseluruhannya

“Zahid ini penipu. Orang putih kata compulsive liar, pembohong tegar. Dulu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14, dia keluar kenyataan kononnya kad pengenalan saya yang asal menamakan saya sebagai Mahathir A/L Iskandar Kutty.

“Dia dakwa bahawa IC biru saya dengan nama tersebut dihantar kepadanya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan ini dibuat Ahmad Zahid kerana hendak menuduh dirinya berketurunan India dan telah mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

“Saya tunggu apakah Ahmad Zahid akan keluar bukti ini pada khalayak ramai. Tetapi sampai habis pilihan raya tidak.

“Dia hanya mahu memburukkan saya sedemikian untuk mempamer kepada umum yang saya menipu mengenai status bangsa saya.

“Kononnya saya ‘anak lelaki’ dan bukan ‘bin’, jadi saya ini bukan Melayu.

“Ya, saya memang pun ada darah keturunan India dan ini saya nyatakan dalam buku saya. Saya tidak nafi. Tapi hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalan saya adalah Mahathir bin Mohamad,” katanya.

Mahathir berkata, mengikut takrifan Perlembagaan Malaysia (Perkara 160) dirinya adalah Melayu dan perjuangannya adalah untuk pertahan kepentingan bangsanya.

“Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum merdeka dan kami semua beragama Islam. Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,” katanya lagi.

Beliau berkata, perkara ini sering dijadikan bahan kempen politik dan tidak gemar memanjangkannya namun tidak lagi pada kali ini.

“Kali ini saya merasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Ahmad Zahid amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja.

“Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong UMNO dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya,” katanya.

Sementara itu, Mahathir turut memberi respons terhadap isu disaman Ahmad Zahid kononnya membuat fitnah berkaitan beberapa pertemuan mereka semasa menjadi Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan.

“Ianya berkisar tentang kenyataan bahawa dia minta saya campur tangan dalam urusan perbicaraan kes mahkamah yang beliau hadapi.

“Oleh kerana perkara ini akan menjadi kes mahkamah, saya tidak bertujuan untuk ulas panjang tentang tuduhan Zahid di sini.

“Saya akan jumpa dia di mahkamah dan telah arah peguam saya menyampaikan kesediaan saya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.