KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru mengambil keputusan mengejutkan dengan menaikkan kadar faedah, kenaikan pertamanya sejak Julai 2020, yang mana pelaksanaannya hanya dijangkakan pada separuh kedua tahun ini.
Sama ada ‘dos’ kedua atau malahan ‘dos penggalak’ kenaikan kadar adalah suatu yang perlu bagi tempoh berbaki tahun ini untuk mengekang peningkatan inflasi, ianya belum dapat dipastikan lagi.
Namun begitu, keputusan lebih awal daripada dijangkakan itu menandakan bahawa negara mencatatkan pemulihan ekonomi yang kukuh.
Malaysia merekodkan pertumbuhan 5 peratus bagi suku pertama 2022 daripada penguncupan 0.5 peratus pada suku yang sama tahun sebelumnya, disokong oleh peningkatan permintaan domestik, kadar pekerjaan yang lebih baik dan kelonggaran langkah-langkah membendung pandemik COVID-19 di tengah-tengah peralihan negara ke fasa endemik.
AmBank Research menganggap bahawa kenaikan kadar lebih awal oleh BNM itu membayangkan ia memilih untuk mengikut trend menaikkan kadar oleh bank-bank pusat global dan dengan inflasi masih menjadi kebimbangan utama, firma penyelidikan itu percaya satu hingga dua lagi kenaikan kadar akan dilaksanakan pada tahun ini.
Sebelum kenaikan itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 1.75 peratus sejak Julai 2020 yang mencecah paras terendahnya selepas bank pusat mengurangkannya sebanyak 125 mata asas sejak bermulanya pandemik COVID-19.
Cantillon Effect
Sebahagian ahli ekonomi percaya apabila sesebuah ekonomi pulih, ia akan mempunyai lebihan wang, satu kesan yang dipanggil sebagai ‘Cantillon Effect’ yang merujuk kepada ahli ekonomi abad ke-18 Richard Cantillon.
Teori Cantillon merujuk kepada permintaan yang mengalir ke dalam ekonomi dan di mana penawaran tidak mampu memenuhinya, yang menyebabkan kenaikan harga.
BNM mengunjurkan inflasi keseluruhan menyederhana antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus tahun ini berbanding 2.5 peratus pada 2021.
“Dengan usaha kerajaan sejak dua tahun lalu mengumumkan beberapa pakej rangsangan bagi membantu rakyat semasa pandemik, ditambah pula dengan empat kali pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ya, sedikit sebanyak kita sedang mengalami kesannya,” kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.
Beliau berkata memandangkan lebih banyak wang tunai masih di tangan orang ramai, terutamanya dalam kalangan ahli KWSP, perbelanjaan pengguna dijangka berterusan, terutamanya memandangkan penggunaan swasta membentuk 58.8 peratus daripada ekonomi.
“Impak ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh menjadi agak ketara.
“Tetapi dalam jangka masa panjang, simpanan ahli KWSP agak terjejas kerana mereka mungkin terlepas kesan menjana pendapatan daripada simpanan mereka dalam KWSP,” katanya sambil mengingatkan bahawa hanya sedikit simpanan yang boleh dibelanjakan pada masa hadapan apabila ahli KWSP bersara.
Sehingga 14 April, KWSP menerima 5.3 juta permohonan bernilai lebih RM40 bilion di bawah kemudahan pengeluaran khas.
Menurut KWSP, tiga sebab utama ahli memohon untuk pengeluaran khas adalah pengurangan dalam pendapatan atau gaji (24 peratus), membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas (23 peratus), dan meningkatkan sumber pendapatan (14 peratus).
Melayu Bumiputera merupakan kaum terbesar yang memohon iaitu sebanyak 63 peratus, diikuti oleh Cina (12 peratus) dan India (7 peratus) manakala baki 17 peratus adalah Bumiputera Sabah dan Sarawak dan bukan warga Malaysia.
Mohd Afzanizam berkata dasar-dasar pengembangan monetari dan fiskal juga telah memberi manfaat kepada pelabur berikutan reaksi pasaran saham yang positif terhadap berita mengenai usaha campur tangan pihak berkuasa ke atas ekonomi.
“Inilah yang berlaku dalam pasaran saham 2020 yang meningkat semula secara ketara selepas kerajaan dan bank-bank pusat global melaksanakan usaha rangsangan ekonomi secara besar-besaran apabila sebahagian besar negara terbabit menguatkuasakan sekatan pergerakan yang memberi impak serius ke atas ekonomi masing-masing.
“Bagaimanapun, orang biasa atau mereka yang bergaji masih bergelut untuk mendapatkan pekerjaan baharu selain mengalami pendapatan yang berkurangan. Malah, dari sudut tertentu, manfaat bersih daripada rangsangan ekonomi itu lebih kepada orang awam yang melabur,” katanya.
Inflasi Global
Selain itu, Moody’s Analytics mengeluarkan analisis bertajuk ‘The Global Outlook: The Inflation Era’ sejajar dengan inflasi keseluruhan yang terus memberi tekanan di peringkat global.
Ia turut menyifatkan keadaan inflasi lebih tinggi, kelonggaran dasar secara agresif serta tekanan rantaian bekalan telah menjejaskan landskap ekonomi global.
Malah, firma penyelidikan tersebut turut bertindak menyemak turun keluaran dalam negara kasar (KDNK) globalnya bagi 2022.
“Asas unjuran kami adalah inflasi akan memuncak di sebahagian besar negara pada sekitar pertengahan tahun ini dan secara relatifnya kekal meningkat bagi tempoh sepanjang 2023. Bagi menekankan lagi andaian ini adalah (senario) harga minyak yang biarpun telah melepasi kemuncaknya tetapi akan terus kekal tinggi bagi tempoh berbaki 2022 yang turut dialami oleh harga komoditi lain,” kata Penganalisis Kanannya bagi Asia Pasifik Katrina Ell yang juga penulis analisis tersebut.
Menurut Moody’s, kuasa ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat juga telah mencatat Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 8.3 peratus bagi April iaitu yang tertinggi dalam tempoh 40 tahun.
Di Eropah, lonjakan kos tenaga serta makanan pula terus ketara serta meluas di sekitar rantau tersebut.
Kadar inflasi Indeks Harmoni Harga Pengguna zon Eropah itu merekodkan 7.4 peratus bagi tahun ke tahun pada Mac yang jelas lebih ketara berbanding 5.9 peratus pada Februari.
Inflasi Jerman berada pada 7.4 peratus tahun ke tahun pada April, tertinggi sejak penyatuan, pertumbuhan IHP Belanda adalah pada 9.6 peratus pada April, dan IHP United Kingdom mencatatkan satu lagi lonjakan tertinggi iaitu pada 7 peratus pada Mac berbanding 6.2 peratus pada Februari.
Menurut Moody’s, Asia Pasifik juga tidak terlepas daripada inflasi yang lebih tinggi. Pertumbuhan IHP India menuju kepada 8 peratus tahun ke tahun pada suku Jun berikutan harga bahan api yang melonjak, manakala di Amerika Latin, pertumbuhan IHP Brazil mencecah 12.1 peratus pada April, jauh mengatasi sasaran bank pusat sebanyak 3.5 peratus .
Perlu Bersikap Munasabah dan Praktikal
Mohd Afzanizam menasihatkan orang ramai supaya bersikap munasabah dan praktikal pada masa ini.
“Di sinilah celik kewangan perlu bermula, dan saya rasa syarikat teknologi kewangan yang semakin berkembang yang memberikan nasihat dan platform pelaburan perlu menembusi masyarakat umum.
“Kita sedar bahawa kita tidak berdaya untuk menangani tekanan inflasi yang semakin meningkat, namun mungkin, dengan melabur kita mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengatasi inflasi,” katanya. – BERNAMA