Home Nasional Mayat mangsa terjun Jambatan P.Pinang ditemui selepas 3 hari

Mayat mangsa terjun Jambatan P.Pinang ditemui selepas 3 hari

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

GEORGE TOWN – Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan akhirnya mayat mangsa terjun Jambatan Pulau Pinang ditemui hari ini.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat lelaki berusia 28 tahun itu ditemui terapung berhampiran perairan Pulau Rimau pada jam 9.40 pagi.

“Nelayan tempatan menemui mayat mangsa sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.

“Susulan itu, bot PERKASA 1221 serta aset agensi lain yang terlibat dalam operasi tersebut diatur gerak ke lokasi penemuan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk proses pengecaman sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, operasi CARILAMAT yang memasuki hari ketiga dengan pembahagian lima sektor pencarian dengan keluasan 34.08 batu nautika persegi itu ditamatkan pada jam 1 tengah hari.

“Kita ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil langkah terburu-buru sebegini sekiranya menghadapi sebarang masalah. Kita mohon mereka rujuk pihak berkaitan agar dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun Jambatan Pulau Pinang

MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 arah Perai menghala pulau di sini.

Mangsa berusia 28 tahun itu didapati meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dalam keadaan enjin masih hidup di atas jambatan sebelum bertindak terjun. – MalaysiaGazette