Home Nasional Perkeso Pahang bayar pampasan RM 10.4 juta dalam tempoh 3 bulan

Perkeso Pahang bayar pampasan RM 10.4 juta dalam tempoh 3 bulan

Pengarah Perkeso Pahang, Ahmad Tarmizi Mukhtar

KUANTAN – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada kepada penuntut yang layak dan memenuhi syarat penerima faedah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Tarmizi Mukhtar berkata, kebanyakan tuntutan melibatkan kes kemalangan, hilang upaya sementara, pencen ilat dan pencen penakat.

“Setiap proses tuntutan oleh pencarum diproses dan diluluskan dalam tempoh tiga hari selepas menerima laporan,” katanya selepas program bersama pemimpin masyarakat  dan sambutan Aidilfitri peringkat pejabat Perkeso di Wisma Perkeso, hari ini.

Jelas Tarmizi, Perkeso sentiasa berusaha mempercepatkan setiap proses tuntutan yang dikemukakan.

Sementara itu beliau berkata, Ops pemutihan sedang dijalankan sepanjang bulan Mei bagi mengesan majikan yang belum mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso Pahang.

Katanya, majikan juga diminta mengemas kini maklumat pekerja mereka sehingga penghujung bulan ini.

“Majikan yang gagal berbuat demikian selepas tempoh Mei ini akan berdepan tindakan termasuk dikenakan kompaun.

“Ops Pemutihan sehingga 31 Mei dan mulai bulan Jun, kita akan mulakan Ops Kesan iaitu bagi mengesan majikan yang tidak mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso.

“Ops Kesan ini kita lakukan bagi  memastikan semua majikan dan pekerja mencarum bagi melindungi pencarum dan penerima faedah jika berlaku insiden atau kejadian tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette