Home Nasional Shafee hairan Mohd Bakke tidak curiga dengan pengurusan 1MDB

Shafee hairan Mohd Bakke tidak curiga dengan pengurusan 1MDB

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus tegang apabila peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kembali mengasak Tan Sri Mohd Bakke Salleh dengan mempersoalkan mengapa beliau tidak bersemuka dengan Datuk Seri Najib Razak sebelum meletakkan jawatan.

Shafee bertanya adakah bekas Pengerusi 1MDB itu merajuk sehingga tidak sanggup bersemuka dengan Najib sedangkan Mohd Bakke berpeluang peluang bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu dan mendedahkan isu penyelewengan dana 1MDB.

Malah peguam bela itu melahirkan rasa hairan bagaimana Mohd Bakke boleh curiga terhadap Najib dan bukannya pihak pengurusan 1MDB berhubung transaksi luar biasa syarikat.

Mohd Bakke yang tidak senang dengan perkataan merajuk tidak bersetuju dengan cadangan Shafee itu.

Shafee: Mengapa anda tidak curiga dengan pengurusan 1MDB? Mengapa tidak lapor jenayah mereka sebaliknya kamu ambil keputusan untuk tidak bersemuka dengan Najib, kamu merajuk dengan beliau. Anda buat keputusan untuk tidak berjumpa dengan PM.

Mohd Bakke: Merajuk adalah perkataan yang salah. Tapi katalah apa yang sahaja yang kamu mahu.

Shafee: Kamu Pengerusi 1MDB. Sebagai seorang yang bertanggungjawab besar, tidak kira siapa anda sepatutnya berjumpa sendiri dengan PM dan maklumkan apa yang sedang berlaku. Jika tidak buat begitu, syarikat dalam masalah. Ini tidak bertanggungjawab.

Tetapi kamu berharap untuk mendapat jawapan dari balasan SMS, mungkin mesej itu tidak sampai kepadanya. Ini tidak bertanggungjawab.

Mohd Bakke: Tidak ada komen.

Shafee: Mengapa tidak bersemuka sahaja daripada hantar SMS? Mengapa tidak beri amaran kepada Najib jika tidak ada tindakan daripadanya mungkin syarikat ini hancur. Sebaliknya kamu sebagai Pengerusi hanya hantar mesej?

Dalam pada itu, Mohd Bakke sempat menyindir Shafee dengan menyatakan peguam bela itu lebih mengenali Najib berbanding beliau.

Sebelum ini, Mohd Bakke mendakwa beliau terpaksa meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB selepas berasa Najib terbabit dalam salah laku kewangan selain ada yang tidak kena berlaku di luar pengetahuannya.

Mohd Bakke Salleh. foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2020

Ini kerana dakwa Mohd Bakke khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bekas perdana menteri itu berhubung kebimbangannya mengenai hal ehwal 1MDB tidak mendapat maklum balas Najib.

Najib berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM2.3 bilion.

Shafee juga bertanya mengapa Mohd Bakke tidak cuba bersemuka dengan Najib ketika majlis memeterai kerjasama antara syarikat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan 1MDB yang turut di hadiri olehnya walaupun selepas sebulan meletak jawatan.

Namun Mohd Bakke mendakwa, ini kerana beliau mahu menunjukkan rasa hormat kepada Najib.

Prosiding bersambung esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah. – MalaysiaGazette