KUALA LUMPUR – Eksport negara merekodkan pertumbuhan kukuh 20.7 peratus pada bulan April lalu berbanding bulan yang sama tahun 2021, menyaksikan peningkatan tahun ke tahun yang ke-20 bulan berturut-turut sejak September 2020.
Import juga berkembang 22.0 peratus kepada RM103.9 bilion dan imbangan dagangan mencatatkan lebihan RM23.5 bilion, meningkat 15.7 peratus pada April 2022.
Prestasi dagangan Malaysia meneruskan momentum pertumbuhan pada April 2022, dengan dagangan meningkat 21.3 peratus daripada RM190.8 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM231.4 bilion.
Jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit yang kukuh untuk bulan ke-15 berturut-turut sejak Februari 2021.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia melonjak 20.7 peratus daripada RM105.6 bilion kepada RM127.5 bilion, bulan kesembilan berturut-turut pertumbuhan dua angka tahun ke tahun didorong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.
Eksport domestik bernilai RM103.4 bilion menyumbang 81.1 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 21.7 peratus, tahun ke tahun.
Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM24.1 bilion, meningkat 16.8 peratus. Selari dengan prestasi eksport, import pada April 2022 juga mencatatkan pertumbuhan dua angka 22.0 peratus daripada RM85.2 bilion kepada RM103.9 bilion, mengatasi pertumbuhan eksport untuk empat bulan berturut-turut.
Walau bagaimanapun, berbanding Mac 2022, prestasi jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan menunjukkan penurunan masing-masing 2.1 peratus, 3.1 peratus, 0.9 peratus dan 11.6 peratus.
Selaras dengan pertumbuhan tahunan, 191 daripada 255 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dipaju oleh injap & tiub termionik.
Bagi import, 176 daripada 258 kumpulan mencatatkan pertumbuhan positif.
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Kesatuan Eropah (+RM2.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.2 bilion), China (+RM1.9 bilion), Australia (+RM1.9 bilion), Republik Korea (+RM1.5 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Singapura (+RM1.4 bilion), India (+RM1.4 bilion), Jepun (+RM1.4 bilion) dan Hong Kong (+RM1.2 bilion).
Sementara itu, penyumbang utama kepada peningkatan import telah berubah sekali lagi, diterajui oleh Indonesia, dengan peningkatan RM2.8 bilion diikuti oleh Taiwan (+RM1.8 bilion), Singapura (+RM1.8 bilion), China (+RM1.7 bilion), Amerika
Syarikat (+RM1.7 bilion), Republik Korea (+RM1.4 bilion), Arab Saudi (+RM1.2 bilion) dan Emiriah Arab Bersatu (+RM1.0 bilion).
Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, peningkatan mengikut produk didorong oleh barangan elektrik & elektronik (+RM10.0 bilion); barangan perkilangan logam (+RM2.5 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM2.1 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.8 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.8 bilion); gas asli cecair (+RM1.7 bilion) dan petroleum mentah (+RM1.1 bilion).
Manakala kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM7.2 bilion); petroleum mentah (+RM2.9 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.8 bilion); biji logam & serpihan logam (+RM1.7 bilion) dan barangan perkilangan logam (+RM1.1 bilion). – MalaysiaGazette