KUALA LUMPUR – Anak muda di negara ini perlu digalakan untuk terlibat dengan berkemahiran tinggi dalam teknologi baru, sekali gus menyumbang kepada ekonomi dan masa depan negara.
Mereka tidak seharusnya digalakkan untuk berjinak-jinak dengan ganja sehingga menanam pohon yang boleh disalahgunakan untuk berkhayal tersebut di rumah.
Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor Isham Jalil berkata, jika seseorang individu terbabit sakit dan perlu rawatan dengan menggunakan ganja mereka harus pergi ke hospital.
Individu berkenaan sama sekali tidak boleh menanam pohon tersebut di rumah.
“Kita mahu anak muda kita berkemahiran tinggi dalam teknologi baru dan menyumbang kepada ekonomi dan masa depan negara. Bukan berjinak-jinak dengan ganja.
“Jika ada yang sakit dan perlu rawatan dengan ganja, pergi ke hospital dan jumpa doktor dan guna saluran yang betul. Bukan tanam sendiri di rumah dan hisap sendiri atau jual kepada orang lain.
“Saya percaya anak muda Malaysia adalah lebih bijak dan bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Isham, beliau bersetuju dengan pendapat Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa banyak pesakit perlu guna ganja untuk tujuan perubatan.
Namun itu tidak bermakna, pesakit berkenaan boleh sewenang-wenangnya menanam ganja sendiri di rumah.
“Syed Saddiq kata banyak pesakit perlu guna ganja untuk tujuan perubatan. Betul. Tetapi ia tidak bermakna kamu boleh tanam ganja sendiri di rumah.
“Di hospital juga pesakit diberi morfin untuk tahan sakit, tetapi tidak bermakna kamu boleh pergi beli atau buat morfin sendiri.
“Juga di hospital juga ada guna radioaktif untuk tujuan perubatan, dan banyak negara guna nuklear untuk jana elektrik, tetapi tidak bermakna kamu boleh melombong atau beli uranium atau plutonium sendiri,” katanya.
Isham berkata, sekiranya seseorang boleh menanam ganja di rumah maka bahan itu sukar untuk dikawal. Mereka boleh menyalahgunakan bahan tersebut.
“Dan undang-undang tetap undang-undang. Sebab itu semasa seorang anak taikun ditangkap dan dilepas kerana tuduhan tanam ganja di rumah, saya persoal Peguam Negara macam mana dia boleh lepaskan orang ini?” tambah Isham.
Isham turut mengingatkan bagaimana pada kurun ke-19 keadaan ekonomi dan sosial China amat teruk kerana ramai rakyatnya menjadi penagih candu dan melemahkan negara itu.
British telah membawa dan menyeludup candu ke China dan ketagihan candu menyebabkan China tewas dalam siri peperangan dengan negara tersebut.
Syed Saddiq yang merupakan Pengerusi Muda semalam hadir ke Mahkamah Petaling Jaya bagi mengikuti sebutan semula kes melibatkan penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman.
Yasin berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondominium, Mac lalu.
Dalam serbuan pada 24 Mac di kediamannya, polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja.
Ketika bertemu media, Pengerusi Kaukus Medical Marijuana itu berkata, kerajaan harus mengiktiraf bahawa banyak pesakit di Malaysia yang perlu menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan.-MalaysiaGazette
Berubat nggak butuh hisap ganja bikin kanser paru-paru pula, tetapi berubat makan nasi ganja berulam daun ganja bisa promosi teknologi bisnes di negara maju dong.