KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh memandang ringan isu pencerobohan di Laut China Selatan yang dilakukan China.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusuf berkata, mengikut laporan, sejak tahun lalu pesawat pejuang China, J-20, mula berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan bagi melakukan rondaan dan latihan rutin.
“Tetapi alasan kerajaan China mengatakan kononnya hanya menjalani latihan ketenteraan dan bertegas tidak merentasi mana-mana sempadan antarabangsa adalah tidak munasabah sama sekali.
“Langsung tidak masuk akal langsung sebagai tidak merancang dan hanya rutin kerana mereka sudah melakukan pencerobohan sebanyak 23 kali dalam tempoh 12 bulan ini. Ikut rekod Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016 hingga 2019,” katanya, hari ini.
Berikutan itu, beliau mempersoalkan langkah Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan dalam menyelesaikan masalah itu.
“Nampak gaya siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta pantai timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik Covid-19 seperti memberi gambaran Wisma Putra dan Mindef tidak mempunyai apa-apa pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis tersebut.
“Malaysia harus bertindak secara kolektif bersama negara-negara Asean bagi mencapai resolusi dan kesefahaman bersama China bahawa tindakan mereka telah dan akan mengguris perasaan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
“Adalah tidak wajar China menjadikan wilayah Malaysia sebagai proksi pertempuran antara kuasa-kuasa besar dan sepatutnya kumpulan kuasa besar itu harus selesaikan pertikaian mereka tanpa menjadikan Laut China Selatan sebagai tempat menunjukkan kekuatan tentera,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Itulah padahnya co-existence pelbagai kaum undi majority bisa menduduki tanah rizab Melayu istimewa tinggal 12% aja dong. Syabas Azeris ambil balik Nogorno-Karabah yang diduduki majority warga asing.