KUANTAN – Seorang penolong pegawai pertanian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM300 pada awal tahun ini.
Tertuduh, Ahmad Akmi Mohamad, 39, yang membuat pengakuan itu minta dibicarakan selepas jurubahasa mahkamah membaca dua pertuduhan di hadapannya.
Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin dan menawarkan wang ikat jamin berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin.
Walau bagaimanapun tertuduh memohon rayuan agar jaminan dikurangkan dengan alasan masih menanggung seorang isteri, dua orang anak dan ibunya.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudian mengenakan ikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Ahmad yang masih berkhidmat di Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Lipis, diperintahkan untuk hadir melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan bermula Mei ini sehingga kes selesai.
Tertuduh juga diminta menyerahkan pasport antarabangsa untuk disimpan oleh mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad didakwa menerima suapan RM200 untuk dirinya pada 5 Januari 2022 di Kedai Makan Mamak Tempoyang, di Kuala Lipis.
Manakala pertuduhan kedua beliau didakwa menerima suapan berjumlah RM100 melalui mesin deposit tunai di CIMB Maran pada 7 Januari 2022.
Ahmad didakwas atas kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Hukuman yang diperuntukkan bagi sesyen tersebut merupakan penjara sehingga sampai dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Kes disebut semula pada 20 Jun depan. – MalaysiaGazette