KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat yang terlibat dengan program sosial bagi membantu golongan B40 termasuk golongan bekas penagih dan banduan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, syarikat yang berminat perlu berdaftar dengan pihaknya untuk dinilai penglibatan mereka dalam program sosial sebelum diberikan pengecualian cukai di bawah Skim MySmile.
“MySmile adalah satu dasar baharu yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri bulan lepas.
“Ia untuk menggalakkan mana-mana syarikat terlibat dengan program-program sosial yang membantu golongan B40 termasuk golongan bekas penagih dan banduan.
“Maka syarikat ini dia kena berdaftar dengan KUSKOP, kami akan buat penilaian dan kita akan membuat sokongan untuk syarikat ini diberikan pengecualian cukai,” katanya pada sidang media di Four Season Hotel, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Program Usahawan Kluster Baharu Dalam Kalangan Bekas Banduan, Penagih, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Belia anjuran Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Straits Millennium Sdn. Bhd Group serta Ghullam Development Sdn. Bhd.
Noh juga melahirkan rasa kesal apabila dasar baharu itu tidak mendapat sambutan daripada syarikat-syarikat di negara ini walaupun sudah hampir sebulan ia dilancarkan Perdana Menteri.
“Sebenarnya perkara ini kita sudah ada, tapi tidak uar-uarkan, maka sambutan itu kurang, walaupun kita ada perbincangan dengan pihak penjara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Bila kita ada tawaran ini, kita tengok sambutannya kurang mendapat sambutan, mungkin mereka tidak tahu dan mungkin tidak ada sesiapa yang memberi keyakinan kepada mereka,” katanya.
Tambah beliau, melalui kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti PERGAK diharapkan dasar baharu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan syarikat tempatan dalam usaha memberi peluang kedua kepada golongan terbabit.
“Saya harap kita ada perjanjian persefahaman (MoU) dengan PERGAK ini, kita mengharapkan PERGAK bantu untuk mencari bekas banduan, sekaligus mengawal mereka.
“Sasaran kita tahun ini hingga tahun depan kita nak 50 orang (bekas banduan dan penagih).
“Kalau sebelum ini PERGAK boleh buat tanpa bantuan, saya yakin dengan penglibatan kementerian ini, hasrat untuk melahirkan memberi peluang kepada golongan terpinggir ini kembali kepada masyarakat dapat kita capai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette