KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih menunggu individu yang mendedahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan, kebersihan dan piawaian halal di sebuah loji penyembelihan di Australia untuk menghubunginya bagi mendapatkan maklumat lebih tepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Pegawai Atase Jakim di Australia pada mulanya telah bertemu dengan individu berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, individu yang menggunakan nama ‘Abdullah’ itu berjanji akan menghubungi semula pegawai berkenaan, tetapi tidak berbuat demikian sehingga kini.
“Empat hari lepas saya telah mesyuarat google meet dengan Pegawai Atase Jakim di Australia bersama Ketua Pengarah Jakim, nak dapatkan secara langsung apa yang berlaku sebenarnya.
“Pegawai itu ceritalah apa yang berlaku dan tindakan drastik kita ketika ini ialah menggantung operasi pusat loji penyembelihan itu.
“Kita juga sekarang ini berusaha untuk menghubungi individu yang buat pendedahan itu dan kita nak supaya dia beri kerjasama yang baik. Namun, setakat ini dia belum lagi hubungi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Nasional: Islam, Keluarga Malaysia dan Keharmonian dengan tema “Membina Agenda Kalis Cabaran Masa Depan” sempena sambutan Ulang Tahun IKIM yang ke-30 di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Jakim mengambil tindakan drastik menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia berkuatkuasa serta merta sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilaporkan berkata, pada masa sama, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu akan diberi surat tunjuk sebab dan berdepan dibatalkan status badan pensijilan halal yang diiktiraf JAKIM sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.
Katanya, keputusan penggantungan itu dibuat selepas JAKIM bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) dan Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia mengadakan perjumpaan.
Mengulas lanjut, Idris berkata, terdapat 16 loji penyembelihan yang beroperasi di Australia dan syarikat yang mengendalikan loji digantung operasi itu sebelum ini membekalkan 18 peratus daging ke negara ini.
Katanya, pihaknya juga telah meminta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk mengesan atau menghubungi ‘Abdullah’ yang merupakan rakyat Somalia itu agar memberi kerjasama kepada JAKIM.
Menurut beliau, pihaknya akan melindungi individu itu mengikut perundangan yang ada, asalkan maklumat tepat disalurkan segera dan diselesaikan secepat mungkin. – MalaysiaGazette
Takkan attache jakim gagal buat video rakaman sendiri di loji penyembelihan.