KUALA LUMPUR – Pelantikan calon duta mestilah yang terbaik demi untuk kepentingan negara, bukan dibuat sesuka hati berdasarkan habuan politik.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, secara tradisinya Duta atau Pesuruhjaya Tinggi dilantik dalam kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) Wisma Putra yang lama berkhidmat.
“Mereka ini dinaikkan pangkat secara berperingkat sehingga dilantik sebagai duta di negara kecil dan sampai ke tahap menjadi duta di negara besar seperti di Eropah, Amerika, Asia Pasifik dan sebagainya.
“Bahkan, menjadi duta juga memerlukan kemahiran diplomasi, penguasaan bahasa serta perkembangan Sains, Teknologi dan Digital.
“Malangnya di negara kita Malaysia semua sudah jadi lintang-pukang, cacar-marba dan memalukan apabila pelantikan dibuat atas perhitungan kepentingan politik parti serta permainan politik yang berkuasa,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.
Beliau membuat kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia minggu lalu.
Pelantikan yang menimbulkan kontroversi itu turut dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, dengan berkata, Presiden Indonesia, Joko Widodo telah bersetuju dengan pelantikan itu.
Menurutnya, Tajuddin yang merupakan orang politik lama dan berpengalaman telah mendapat surat persetujuan daripada Jokowi.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, memberi jawatan itu kepada orang politik tidak menghasilkan apa-apa faedah dan seperti tidak mempunyai matlamat.
“Tengok sahajalah apa perlunya pelantikan Duta-Duta Khas dari kalangan ahli politik. Duta Khas Timur Tengah, China dan India. Apa peranan mereka ini sehingga bertaraf menteri.
“Ini membazir wang rakyat dan wang negara yang tidak sedikit. Memang tidak masuk akal.
“Mereka pula diberi pegawai seperti menteri, pejabat dan lain-lain kemudahan. Patut buat audit forensik akan perbelanjaannya, prestasi pencapaian untuk negara dan sebagainya,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar mengharamkan pelantikan duta, pesuruhjaya tinggi atau kaunselor dalam kalangan ahli politik.
Sebaliknya, pelantikan itu dibuat dalam kalangan PTD yang berkhidmat dengan Wisma Putra berdasarkan sistem perkhidmatan serta protokol yang diamalkan selama ini.
“Putra juga mendesak kerajaan supaya memansuhkan dasar melantik Duta Khas dalam kalangan ahli politik yang bertaraf Menteri.
“Ini kerja tidak masuk akal. Kerajaan boleh melantik utusan khas atas urusan tertentu mengikut keperluan atas perkara penting secara spesifik.
“Contohnya, menjadi wakil perdana menteri atau negara bagi merundingkan perkara tertentu dengan bukan bergaji dan berjawatan tetap, tanpa pejabat serta kakitangan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak perlu membazir wang rakyat yang banyak lagi diperlukan untuk perkara yang jauh lebih penting daripada ini.
“Hentikanlah kerja pembaziran yang tidak masuk akal ini. Apa lagi bahasa yang lebih baik, selain dari perkataan tidak masuk akal atas dasar dan perbuatan ini.
“Bila agaknya pemimpin negara akan insaf untuk tidak melakukan kerja yang tidak membazir serta ikut peraturan yang betul?,” soalnya. – MalaysiaGazette