Home Nasional MKMPK gagal pastikan isu keselamatan makanan diselesaikan

MKMPK gagal pastikan isu keselamatan makanan diselesaikan

Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh selamanya bergantung kepada import makanan semata-mata kerana dasar itu menyebabkan harga barang sering naik, apatah lagi ketika nilai ringgit yang lemah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, walaupun Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) telah ditubuhkan pada Mac tahun lalu, kerajaan masih gagal membentangkan pelan tindakan bagi memastikan isu keselamatan makanan diselesaikan.

Selain itu, katanya, kuantiti barang dan nilainya juga bergantung kepada keadaan politik dan ekonomi sesebuah negara pengeksport, menyebabkan ketidaktentuan barang makanan dalam negara dari sudut ketersediaan dan harga.

Kata beliau, nilai import makanan pada 2020 mencecah sehingga RM55.5 bilion menunjukkan isu keselamatan makanan negara perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan.

“Jika kerajaan mempunyai pelan tindakan bersepadu berkaitan keselamatan makanan, sudah pasti negara tidak akan berhadapan dengan inflasi makanan yang serius hari ini.

“Kenaikan harga barang boleh dikaitkan pelbagai faktor termasuk harga input makanan seperti baja serta dedak dan jika dikawal akan mengurangkan kos operasi serta produksi makanan.

“Untuk solusi jangka panjang, kerajaan perlu menyediakan ‘zon hijau input makanan’ di setiap daerah dengan dana khas yang berperanan mengeluarkan baja dan dedak seperti jagung dalam skala besar,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Faiz yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, kos harga baja seguni meningkat dari RM120 kepada RM250 telah menaikkan harga sayur seperti sawi, timun dan bayam antara RM1 hingga RM2.50 sekilogram.

Begitu juga, harga ayam yang meningkat tanpa kawalan melebihi RM9 sekilogram akibat kenaikan harga dedak.

Jelas beliau, kebergantungan kepada import dedak hampir RM4.6 bilion dan baja RM3.2 bilion pada 2020 adalah kos yang sangat tinggi.

Sudah pasti, katanya, kenaikan harga itu membebankan pengguna dan dengan gaji rakyat yang masih rendah, inflasi akan terus meningkat, di mana inflasi teras 1.7 peratus merupakan kadar tertinggi sejak 2020.

“Terbaru adalah krisis gandum, yang mana dijangka stoknya dalam negara tidak mencukupi dan natijahnya, harga akan meningkat serta harga makanan berasaskan tepung itu juga menjadi mahal. Sekarang pun telah mula naik sehingga 50 sen sekilogram.

“Di samping itu, harga minyak masak turut naik mendadak lebih 40 peratus daripada RM25 bagi botol 5 kilogram kepada RM45.

“Kerajaan pula dalam rangka untuk memperkenalkan subsidi bahan bakar bersasar yang sudah pasti meningkatkan harga petrol dan diesel serta kos pengangkutan, yang akan menjadikan harga barang terus meningkat kerana faktor domino ekonomi,” ulas beliau.

Oleh itu, kata beliau, bagi mengawal harga barang untuk jangka pendek, kerajaan perlu memastikan tiada gangguan pada rantaian bekalan makanan termasuk pengangkutan.

Menurutnya, jika wang Petronas boleh dicadangkan untuk menyelamatkan syarikat besar, sepatutnya kerajaan juga boleh menyuntik dana sebagai subsidi barang makanan.

“Jika tidak, rakyat akan tertanya-tanya kenapa mereka perlu membayar harga yang mahal, sedangkan kek itu dikatakan dihiris-hiris untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette