Home Ekonomi Produktiviti buruh suku pertama meningkat 2.7%

Produktiviti buruh suku pertama meningkat 2.7%

Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Produktiviti buruh Malaysia meningkat 2.7 peratus dengan merekodkan RM23,129 pada suku pertama 2022 berbanding 1.7 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku tahun pertama tahun ini juga berkembang 5.0 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus pada suku tahun keempat 2021.

Pekerja yang merekodkan 15.6 juta orang naik 2.2 peratus berbanding 1.8 peratus pada suku tahun keempat 2021 berikutan dengan pelonggaran sekatan prosedur operasi standard yang membenarkan majlis berskala besar dan perhimpunan sosial, serta perniagaan yang beroperasi pada kapasiti penuh apabila negara telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

Situasi ini telah menyebabkan peningkatan yang menggalakkan dalam pasaran buruh pada suku tersebut, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas mengenai prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja, beliau berkata, jumlah jam bekerja tertinggi dicatatkan pada suku ini dengan 4.6 peratus yang merekodkan 8.9 bilion jam apabila waktu operasi perniagaan adalah lebih panjang pada suku ini.

Oleh itu, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja tumbuh pada kadar marginal 0.3 peratus berbanding 1.3 peratus pada ST4 2021 dengan nilai RM40.3 per jam berbanding RM42.3 per jam pada suku keempat tahun lalu.

Dari sudut sektor ekonomi, tiga sektor mencatatkan pertumbuhan positif berdasarkan produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja pada suku tersebut iaitu perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

Pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh pada suku ini dicatatkan oleh sektor perkhidmatan pada 3.6 peratus berbanding suku tahun keempat 1.1% dengan semua subsektor merekodkan peningkatan kecuali kewangan & insurans (-0.3%) dan perdagangan borong & runcit (-0.9%).

Produktiviti buruh bagi sektor pembuatan tumbuh 2.8 peratus berbandung 5.3% pada suku tahun keempat dengan kadar pertumbuhan tertinggi dicatatkan oleh produk elektrik, elektronik & optikal (10.6%), diikuti oleh produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (4.4%) dan minuman & produk tembakau (4.3%).

Bagi produktiviti buruh sektor pertanian, naik 1.0 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

Sebaliknya, sektor perlombongan & pengkuarian dan pembinaan terus mencatatkan penurunan pertumbuhan pada kadar negatif yang lebih kecil masing-masing sebanyak 3.6 peratus dan 5.5 peratus.

Dari segi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja, sektor pembinaan mencatatkan kejatuhan tertinggi produktiviti buruh iaitu negatif 8.2 peratus diikuti oleh sektor perlombongan & pengkuarian pada negatif 4.8 peratus.

Sementara itu, sektor pembuatan dan pertanian merekodkan penurunan sederhana masing-masing sebanyak 0.1 peratus dan 0.2 peratus.

Perkhidmatan merupakansatu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif pada suku tahun pertama 2022 dengan kadar 1.2 peratus selepas mencatatkan 0.8 peratus pada suku akhir 2021. – MalaysiaGazette