Home Nasional Terminal Feri Antarabangsa Kukup beroperasi semula

Terminal Feri Antarabangsa Kukup beroperasi semula

Terminal Feri Antarabangsa Kukup. foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Setelah dua tahun tidak beroperasi akibat penularan wabak COVID-19, Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK) beroperasi semula hari ini apabila mendapat lampu hijau daripada kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kira-kira 100 pengembara tiba di TFAK menerusi feri pertama dari Tanjung Balai Karimun, Indonesia dan jumlah itu dijangka bertambah dengan peningkatan lima slot laluan sehari.

“Hampir semua pintu masuk laut Johor telah dibuka, Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour (di Iskandar Puteri) dijangka beroperasi pada minggu ini selain terminal feri Muar dan Batu Pahat, malah terminal feri baharu di Desaru (Kota Tinggi) juga akan mula beroperasi tidak lama lagi.

“Sebelum ini operasi TFAK dihentikan sementara sejak 19 Mei 2020 berikutan penutupan pintu sempadan kedua-dua negara, kita harap dengan pembukaan ini merancakkan kembali ekonomi Johor,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan feri pertama di TFAK, Kukup di sini hari ini.

Turut hadir di terminal feri itu ialah Atase Perhubungan Kedutaan Besar Republik Indonesia Kuala Lumpur Kapten Supendi.

Sebelum ini, Indonesia membuka sempadan melalui pintu Batam dan hanya Terminal Feri Pasir Gudang serta Terminal Feri Stulang Laut dibenarkan beroperasi secara bergilir-gilir ke Batam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana terlibat dalam program Rekalibrasi Jabatan Imigresen Malaysia.

Sementara itu, Supendi berkata, kerajaan Indonesia amat berbesar hati dan mengucapkan penghargaan kepada Malaysia kerana bersama-sama membantu melancarkan proses pembukaan semula laluan antara Kukup dan Tanjung Balai Karimun.

Beliau berkata, pembukaan laluan itu membolehkan rakyat Indonesia pulang ke negara asal dengan selamat sekali gus mampu mengatasi masalah rakyat Indonesia memasuki ke negara ini secara tidak sah. – Bernama