Home SISWA UiTM, PKS jalin kerjasama pulihara Hutan Komuniti Shah Alam

UiTM, PKS jalin kerjasama pulihara Hutan Komuniti Shah Alam

Kedua-dua wakil PNKS, UiTM selepas menandatangan MoU.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memelihara 85.3 ekar Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) yang dimiliki oleh PKNS.

Hutan Komuniti PKNS yang terletak di Bandar Sierra Alam ini akan terus dipulihara sebagai habitat flora dan fauna serta kawasan ekologi.

Persetujuan yang dimeterai oleh PKNS dan UiTM dalam perjanjian ini adalah PKNS akan bertanggungjawab untuk menerapkan sebahagian daripada Hutan Komuniti PKNS sebagai “living lab” bagi memajukan projek penyelidikan oleh pensyarah dan pelajar UiTM; PKNS akan membantu dari segi penempatan dan pengurusan peluang latihan industri untuk para pelajar UiTM memperoleh pendedahan dunia industri yang sebenar; PKNS akan bersama-sama menganjurkan program perkongsian ilmu yang tertumpu kepada kelestarian, sifar karbon dan kemampanan alam sekitar; UiTM menyediakan tenaga penyelidikan dan perundingan yang berkaitan dengan pengurusan bandar dan kemudahan, sosioekonomi bandar, pelancongan dan rekreasi serta bidang lain yang berkaitan; UiTM juga akan membantu PKNS dalam pengurusan dan pembangunan lestari bagi kawasan Hutan Komuniti PKNS yang terletak di Bandar Sierra Alam dan UiTM akan menyediakan latihan perkhidmatan untuk meningkatkan kemahiran warga kerja PKNS.

Selain itu, rancangan PKNS dan UiTM untuk menggunakan pendekatan other effective area-based conservation measures (OECM) ke kawasan hutan komuniti yang ditetapkan di bawah jagaannya juga termasuk dalam perangkaan tersebut.

Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) mendefinisikan OECM secara geografinya sebagai kawasan yang ditadbir dan diurus dengan cara yang mencapai hasil jangka panjang yang positif dan berterusan, selain menjadi kawasan perlindungan.

Dalam mencapai matlamat ini, gandingan pasukan petugas yang terdiri daripada wakil PKNS dan UiTM akan dibentuk untuk mengemukakan permohonan kepada Southeast Asia Rainforest Research Partnership (SEARRP) untuk mengkategorikan Hutan Komuniti PKNS sebagai OECM yang diberi mandat.

SEARPP ialah sebuah organisasi yang mengendalikan penyelidikan saintifik bertaraf dunia dalam menangani isu-isu perdana melibatkan alam sekitar.

Pengiktirafan ini amat signifikan dalam meningkatkan sokongan untuk pemuliharaan jangka panjang yang berkesan di Hutan Komuniti PKNS.

Menyentuh mengenai pemeteraian perjanjian berkenaan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, Prof. Datin Dr Suzana Sulaiman berkata, selain pemuliharaan, kerjasama ini juga akan membuka jalan kepada pendidikan berkualiti (SDG4) melalui hubungan kerjasama industri-akademik yang lebih kukuh .

”UiTM amat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dalam memainkan peranan untuk membantu menangani kebimbangan iklim dunia. Ruang yang diwujudkan melalui MoU ini membolehkan berlakunya perkongsian idea, ilmu pengetahuan, hasil penyelidikan dan latihan yang akan memberikan pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai nilai tambah kepada ahli akademik dan pelajar kita”, katanya.

MoU itu ditandatangani oleh Dato’ Mahmud bagi pihak PKNS dan Prof. Datin Dr. Suhana, yang mewakili Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Hajah Roziah Mohd Janor. Majlis itu disaksikan oleh Haji Suhaimi Kasdon, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat & Keusahawan) PKNS dan Dekan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur UiTM, Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah. – MalaysiaGazette