Home Seni Hidup Ustaz Kazim memang sakit, aku tengok sendiri kulit dia – Jurusolek

Ustaz Kazim memang sakit, aku tengok sendiri kulit dia – Jurusolek

Foto yang dikongsi oleh Fatimah Ishak di Facebooknya.

KUALA LUMPUR – Penyakit kulit yang dihadapi oleh pendakwah bebas terkenal Datuk Mohd Kazim Elias bukan solekan bagi pengambaran filem.

Seorang jurusolek Fatimah Ishak berkata, beliau melihat sendiri keadaan penyakit yang dihadapi oleh Mohd. Kazim ketika membuat solekan terhadap pendakwah berkenaan untuk filem Zim Zim Ala Kazim.

Fatimah Ishak ketika memberi solekan terhadap penyakit yang dihadapi Mohd. Kazim sewaktu pengambaran filem.

Beliau menjelaskan, solekan yang dilakukan terhadap Mohd. Kazim hanya bagi menambahkan kesan ketara terhadap bonjolan dan luka yang ada pada badan pendakwah berkenaan.

“Sebelum aku memulakan kerja Ustaz suruh aku duduk atas kerusi depan dia untuk dia bacakan ayat-ayat doa dan hembuskan kat aku supaya aku selamat dan dilindungi Allah sepanjang penggambaran filem Zim Zim Ala Kazim.Dia risau aku takut. Ustaz memang sakit.

“Aku tengok sendiri keadaan kulit dia. Cuma aku tambah lagi untuk menampakkan efek di dalam skrin. Semoga ustaz sembuh dan boleh menjalani kehidupan normal macam orang lain,” katanya melalui Facebook miliknya.

Sebelum ini, terdapat netizen yang mempertikaikan penyakit yang dihadapi oleh pendakwah bebas berkenaan.

Menurut mereka, gambar yang dikongsi oleh Mohd. Kazim itu adalah hasil solekan bagi wataknya di dalam filem Zim Zim Ala Kazim.

Filem berkenaan diterbit oleh artis serba boleh, Mawi di bawah produksi Mawi World Entertainment dengan kerjasama AH 77.

Filem itu dijangka menemui penonton sempena sambutan Maulidur Rasul.

Foto: Facebook Fatimah Ishak.

Filem ketiga Mawi itu adalah berdasarkan kisah benar kehidupan Mohd. Kazim yang melalui banyak perkara termasuk ujian hidup memghidap penyakit misteri.

“Saya percaya banyak pengalaman Ustaz Kazim boleh dijadikan iktibar dan inspirasi. Mungkin kita boleh belajar sesuatu daripada perjalanan hidupnya.

“Ujian pernah saya lalui cukup besar, namun ujian Ustaz Kazim lagi hebat. Apabila rasa sudah teruk berdepan ujian hidup, sebenarnya ada lagi yang hebat diuji.

“Apabila diuji, ia menandakan Allah menyayangi kita. Allah takkan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan diri sendiri. Hidup pula tidak selalu indah, ada kala kita berdepan ujian, cabaran dan dugaan di luar jangkaan,” kata Mawi dalam satu temubual dengan sebuah akhbar.

Semalam dan hari ini, Mohd. Kazim berkongsi gambar dan coretan mengenai penyakit kulit yang dihidapi sejak lapan bulan lalu.

Penyakit berkenaan menyebabkan kutil dan bintil tumbuh di seluruh tubuhnya yang mendatangkan kesan gatal amat sangat sehingga kadang-kala pedih dan berdarah tanpa disedari.

Beliau yang telah mendapatkan rawatan moden dan tradisi belum menemui penawar mujarab bagi penyakit tersebut sehingga meminta bantuan sesiapa yang mengetahui tentang penyakit menolong untuk mengubatinya.-MalaysiaGazette