Home Nasional Warga emas maut kereta rempuh penghadang konkrit Plaza Tol Templer

Warga emas maut kereta rempuh penghadang konkrit Plaza Tol Templer

Warga emas tempatan berusia 65 tahun maut selepas kereta Toyota Vios yang dipandu hilang kawalan dan melanggar konkrit penghadang jalan Tol Plaza Templer pagi tadi. Ihsan IPD Gombak

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh penghadang konkrit di Plaza tol Taman Rimba Templer, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian dilaporkan pukul 11.47 pagi itu, lelaki berusia 65 tahun itu dalam perjalanan ke Rawang dari Kundang.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta yang dipandu oleh mangsa seorang lelaki tempatan telah hilang kawalan dan merempuh penghadang konkrit yang berada di antara lorong tol kemudian terbabas masuk ke dalam lorong Touch n Go iaitu lorong nombor empat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zainal Mohamed, sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba Rawang telah dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa dari keretanya dan mangsa tersepit maut di lokasi kejadian.

“Mangsa yang telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kesihatan dan mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi menentukan punca kematiannya, ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Norazlan Noorudin di talian 019-7974466 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222. – MalaysiaGazette