PEKAN – Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta yang membuat pusingan U secara melulu di Kilometer 4 Jalan Pekan- Kuantan semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa Muhammad Hafiz Imran Juraimi @ Syukri, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Kemalangan itu berpunca dari kecuaian pemandu kereta yang memandu secara melulu dan berbahaya dengan membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Kejadian kemalangan berlaku pada 8.35 malam melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan motosikal jenis Yamaha 135LC.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Kuantan hendak menghala semula ke arah Kuantan dengan membuat pusingan U di laluan keluar dari Istana Mahligai Mahkota Pekan.
“Setelah membuat pusingan U, tiba-tiba kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dilanggar oleh motosikal yang datang dari arah Pekan menghala ke Kuantan,” katanya menerusi kenyataan.
Susulan itu, pemandu kereta telah ditahan bagi siasatan lanjut manakala hasil pemeriksaan nombor plat kenderaan mendapati pemilik ada rekod satu saman pandu laju.
Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital pekan dan proses bedah siasat dilakukan sejurus keputan ujian calitan Covid-19 diperolehi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette