Home Nasional Tambat ringgit akan bunuh keyakinan pelabur asing, jejas pasaran saham

Tambat ringgit akan bunuh keyakinan pelabur asing, jejas pasaran saham

Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menambat ringgit dilihat sebagai regresif dan tidak bersesuaian dengan senario kewangan negara pada hari ini.

Pengarah Biro Ekonomi Parti Amanah Nasional (Amanah), Ammar Atan berkata, mantan perdana menteri itu cuba menunjukkan kerisauannya dengan kedudukan ringgit yang rendah, konon akan menyebabkan aliran keluar pelaburan asing, kos import mahal seterusnya kenaikan inflasi mendadak.

Kata beliau, kerisauan itu bukanlah tidak berasas, tetapi cadangan beliau akan menyebabkan lebih banyak kesan negatif berbanding positif.

“Senario kewangan semasa negara sangat berbeza berbanding 25 tahun lalu, sewaktu negara menghadapi krisis kewangan Asia 1997 hingga 1998.

“Apabila ditambat ketika itu, kedudukan ringgit telah jatuh mendadak dalam masa singkat dari RM2.40 ke RM4.90 berbanding USD1 disebabkan serangan spekulatif.

“Ketika itu juga, hanya beberapa mata wang dunia yang terkesan, khususnya Asia dan ia bukanlah senario global seperti hari ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata beliau, dalam tempoh setahun lalu, mata wang utama seperti euro, yen, renmimbi, pound sterling, won, Singapore dollar, baht, rupiah dan peso Filipina telah menjadi lemah berbanding USD, walaupun pada kadar berbeza.

Pada tahun 1997 hingga 1998, memandangkan kemerosotan mata wang adalah “unik” iaitu melibatkan beberapa negara sahaja, dasar tambatan ringgit masih boleh diterima.

Namun, katanya, jika dilakukan hari ini, Malaysia akan dilihat sebagai negara yang tidak menghormati semangat pasaran, pada ketika negara lain tidak memikirkan soal tambatan mata wang.

Menurut Ammar, jika Bank Negara Malaysia (BNM) menguruskan ringgit secara aktif menerusi tambatan, ini akan merosakkan reputasi Malaysia.

“Situasi hari ini juga berbeza apabila sistem perbankan mempunyai permodalan lebih baik dan sangat cair dengan kualiti aset yang kukuh, dan ringgit juga tidak diserang spekulatif sehingga merosot teruk.

“Dasar menambat ringgit bukanlah solusi ampuh untuk memastikan aliran pelaburan asing kekal atau meningkat ke dalam negara. Pelbagai faktor menyumbang ke arah aliran pelaburan, tetapi punca yang lebih signifikan adalah ketidastabilan politik, gangguan rantaian bekalan dan kelemahan polisi kerajaan.

“Buat masa ini, kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve Amerika Syarikat telah menekan ringgit dan mata wang lain. Kenaikan “federal funds rate” ke 0.75 hingga 1 peratus telah menarik “hot money” atau aliran pelaburan dari negara lain kembali ke Amerika Syarikat,” katanya.

Justeru, kata beliau, tindakan BNM meningkatkan OPR baru-baru ini adalah untuk menangani situasi itu, yang turut menyaksikan Indonesia, Filipina, Thailand serta Korea Selatan juga menerima tempias.

Jelas Ammar lagi, kedudukan ringgit yang lemah tidak semestinya sesuatu yang buruk kerana ia disebabkan mata wang yang rendah akan menjadikan negara lebih berdaya saing dan menggalakkan eksport negara.

“Kira-kira 36 peratus daripada pekerja Malaysia dan 42 peratus daripada pendapatan buruh di negara ini adalah daripada sektor berorientasikan eksport. Secara amnya, ringgit yang lebih rendah menjadikan eksport kita lebih berdaya saing kerana keadaan itu menjadikannya lebih murah.

“Ringgit yang lebih rendah mendorong rakyat beralih menggunakan barang dan perkhidmatan tempatan, seterusnya memacu ekonomi tempatan. Bagaimanapun, pergerakan ringgit pada mana-mana arah pun akan memberi manfaat kepada sesetengah pihak dan menjejaskan yang lain.

“Tindakan menambat ringgit juga akan membunuh keyakinan pelabur. Ini disebabkan, polisi menambat mata wang sentiasa dikaitkan dengan negara yang menghadapi krisis kewangan, di mana mereka tidak dapat memenuhi kewajipan kewangan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette