Home Utama Bekalan ayam di KL terputus dua hari mulai esok

Bekalan ayam di KL terputus dua hari mulai esok

Peniaga, Sazali Latif tetap meniaga mahupun bekalan ayam semakin berkurangan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Tiada bekalan ayam di ibu negara selama dua hari mulai esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh para peniaga di pasar Chow Kit.

Seorang peniaga ayam, Sazali Latif, 61, berkata, mereka dimaklumkan oleh penternak bekalan ayam terputus disebabkan tumbesaran anak-anak ayam yang perlahan hingga mengehadkan bekalan.

“Penternak kata ayam tak boleh dipasarkan kerana kebanyakan ayam masih bersaiz kecil, tak boleh nak pasarkan ayam jadi terpaksa cuti dua hari.

“Bermula esok memang saya tak berniaga sampai 23 Mei, hari ini pun stok ayam yang saya dapat sikit sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Sazali Latif

Seorang lagi peniaga, Muhammad Amirul Hayat, 29, berkata, dia telah menerima memo daripada tiga ladang pengeluar ayam dengan alasan yang sama.

”Kami dapat tiga memo dari ladang di sekitar Lembah Klang ini yang kata kuantiti ayam tidak sempat membesar, sebab itulah tidak boleh dipasarkan sampai hari Isnin.

“Masalah ini juga antara salah satu sebab harga ayam naik kerana stok daripada penternak yang berkurangan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Amirul berkata, disebabkan masalah ini dia hanya memperoleh untung sedikit selepas ayam yang ditempah hari ini menurun sebanyak 80 peratus daripada kebiasaan.

”Hari ini saya tempah 100 ekor ayam tapi hanya dapat 20 ekor sahaja. Jadi sampai 23 Mei memang tak dapat stok ayam daging, saya rasa mungkin penternak ambil masa dua hari itu untuk besarkan ayam supaya saiz itu menetapi kadar yang boleh dipasarkan,” ujarnya.

Muhammad Amirul Hayat

Seorang lagi peniaga, Muhammad Tamimi Mad Syukur, 34, juga mengakui stok yang diperoleh hari ini hanyalah sekitar 20 hingga 30 ekor ayam sahaja berbanding sebelum ini yang mencapai hampir 200 ayam untuk sehari.

”Stok ayam susut teruk hari ini, dapat dalam 30 ke 40 ekor saja. Saiz pun kecil sahaja. Tapi ayam tua masih ada. Hari Selasa ini baru stok seperti biasa, alasan penternak beritahu ayam masih kecil dan tak boleh dipasarkan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pembeli masih boleh mendapatkan ayam kampung yang tidak terjejas dalam stok bekalan buat masa ini.

Muhammad Tamimi Mad Syukur

Dalam pada itu MalaysiaGazette difahamkan kebanyakan ladang mengalami masalah tumbesaran ayam disebabkan kekurangan pekerja dan harga dedak yang melonjak.

Rata-rata ternakan ayam seberat 1.2 hingga 1.3 kilogram sedangkan saiz sesuai untuk dipasarkan antara 1.5 hingga 1.8 kilogram.

Dengan mengambil masa dua hari, seekor ayat seberat itu mampu ditambah beratnya antara 100 hingga 150 gram.

Bagaimanapun, ayam yang mencapai saiz 1.5 hingga 1.8 kilogram dapat ditingkatkan beratnya antara 200 hingga 300 gram dalam tempoh dua hari. – MalaysiaGazette