KAJANG – Seorang jurulatih wushu ditahan selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja yang menjalani latihan seni mempertahankan diri itu dirumahnya.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki itu sudah direman sehingga 23 Mei ini untuk membantu siasatan.
”Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah terima laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun,mendakwa anak perempuannya yang berusia 13 tahunMan mengalami gangguan seksual oleh jurulatihnya.
“Kejadian itu berlaku antara 11 sehingga 19 Februari lalu sekitar jam 3 hingga 4 petang dan 12 hingga 1 pagi, ketika mangsa berada di rumah jurulatih tersebut.
“Lelaki itu didakwa melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak itu atas alasan mangsa gagal mematuhi arahannya dalam latihan,” katanya.
Mohd Zaid berkata, mangsa juga telah diugut oleh suspek tidak memaklumkan insiden itu kepada ibu bapanya.
Bertindak atas laporan polis itu, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada 11 Mei lalu, lebih kurang 7.50 petang.
Manakala mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahannya. – MalaysiaGazette