KUALA LUMPUR – Persatuan-persatuan penternak ayam dengan tangan terbuka bersedia menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika beliau mahu mengetahui keadaan sebenar masalah yang berlaku dalam industri ini.
Bagaimanapun, pihak persatuan tidak pernah memohon untuk bertemu dengan perdana menteri kerana percaya beliau sudah menerima maklumat yang betul dan tepat tentang senario industri daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Namun, dalam keadaan sekarang jika perdana menteri mahu kami bertemu dengannya bagi mengadakan perbincangan lanjut dan mengetahui situasi sebenar, pihak kami tidak ada masalah.
“Malah, kami gembira sebenarnya jika pertemuan itu dapat dilakukan dengan kadar segera,” kata seorang pemimpin persatuan itu kepada MalaysiaGazette.
Enggan mengulas lanjut, persatuan-persatuan penternak percaya isu gangguan bekalan ayam ini dapat ditangani segera jika ‘kerajaan memahami masalah industri’ dengan betul dan mahu mengatasinya bersama-sama.
Jelasnya, dalam menangani isu ini, sepatutnya tidak perlu wujud situasi yang mana ada pihak ‘terpaksa akur’.
Ini kerana isu rantauan bekalan makanan sangat berkaitan dengan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Oleh itu, sewajarnya, isu ini ditangani dalam keadaan menang-menang, ujarnya. – MalaysiaGazette