GOMBAK – Kenyataan pemimpin vateran DAP Lim Kit Siang bahawa rumah perdana menteri dan menteri-menteri di negara ini mungkin akan dibakar oleh rakyat yang marah pada tahun 2057 atau 2063 boleh menakutkan pelabur.
Menteri Kanan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu tidak akan mengalakkan kehadiran pelabur luar ke Malaysia.
“Kita mahu kekayaan negara ini dapat diagihkan. Tetapi kalau ada kenyataan-kenyataan yang bersifat perkauman dan provokasi bagaimana mungkin kita boleh harapkan pelabur asing datang ke negara kita.
“Ini satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin,” katanya kepada media ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri Gombak Setia di Taman Greenwood, Gombak hari ini.
Lantaran itu, Azmin meminta supaya pemimpin DAP tersebut supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang bersifat sensitif.
Tambahnya, Malaysia mahu membina sebuah negara yang makmur untuk semua rakyat.
“Kenyataan seperti ini tidak sewajarnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin kerana negara pada hari ini memerlukan satu suasana yang aman, yang damai yang dapat memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan kaum dan rakyat Malaysia.
“Kerana kita mahu bergerak pantas untuk memulihkan negara. Kenyataan ini adalah tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan provokasi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia.
Dalam artikel di blognya kelmarin, Kit Siang meramalkan rumah perdana menteri dan menteri-menteri di negara ini mungkin akan dibakar oleh rakyat yang marah pada tahun 2057 atau 2063.
Beliau membuat andaian tersebut berdasarkan situasi yang berlaku di Sri Lanka ketika ini, yang mana penunjuk perasaan telah membakar rumah perdana menteri dan menteri-menteri negara Asia Selatan itu.
“Adakah mungkin rumah perdana menteri dan menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?
“Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?
“Adakah kita sedang mengikuti jejak langkah Sri Lanka, yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai ‘permata’ yang berpotensi tinggi membangun di Asia Selatan?” tanya Kit Siang dalam artikel tersebut.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung ciapan Kit Siang yang didakwa mengandungi kenyataan boleh menggugat ketenteraman awam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataan berkata imej tangkap layar ciapan tersebut tular di aplikasi WhatsApp.-MalaysiaGazette