Home Nasional Risiko penularan cacar monyet di negara ini rendah – Dr Noor Hisham

Risiko penularan cacar monyet di negara ini rendah – Dr Noor Hisham

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah flood victims Covid-19 positive infectious diseases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Risiko cacar monyet (monkeypox) tersebar ke Malaysia adalah rendah, kecuali terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit yang dijangkiti virus itu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi monkeypox ini melalui laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan pemantauan kes disyaki monkeypox di Malaysia melalui semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Sehubungan itu, KKM menasihati pengembara ke kawasan-kawasan yang terdapat kejadian monkeypox di Afrika Tengah dan Afrika Barat dan juga negara-negara yang sedang mengalami wabak penyakit ini untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengekalkan kebersihan diri yang tinggi, termasuk mencuci tangan dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor.

Selain itu, mengelakkan daripada sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti, sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes, seperti pakaian yang kotor yang digunakan oleh orang yang dijangkiti dan hindari daripada bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya.

”Pengembara yang tiba di Malaysia dari kawasan yang terdapat jangkitan monkeypox dan mengalami gejala penyakit ini dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

”Maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan tersebut. Elakkan daripada kontak langsung dengan individu lain dan lakukan pengasingan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya,” katanya.

Monkeypox disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

Virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan, selain melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

Tempoh inkubasi biasanya antara enam hingga 21 hari dan pesakit akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu.

Dr Noor Hisham berkata, tanda-tanda jangkitan mirip cacar (smallpox), iaitu demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian tubuh yang lain.

Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

Kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap immuniti yang rendah (immune deficiency) mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan boleh menyebabkan kematian dan kadar kematian di negara-negara endemik monkeypox dianggarkan sebanyak 3-6%.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian pengesanan virus penyebab monkeypox dalam kalangan manusia.

Manakala Makmal Kesihatan Awam Veterinar serta makmal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) juga mempunyai kemampuan makmal untuk menjalankan pengujian mengesan orthopoxviruses dalam kalangan haiwan.

KKM juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan PERHILITAN utk memantau kejadian monkeypox dalam kalangan haiwan liar, termasuk yang diimport dari Afrika dan Benua Eropah.

KKM menyeru orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala jangkitan monkeypox agar tindakan pengasingan dapat segera dilakukan serta pengesanan dan kuarantin kontak dapat dilaksanakan bagi mengekang penularan jangkitan. – MalaysiaGazette