GOMBAK – Pelabur dari Starlink iaitu syarikat penyedia Internet jalur lebar berkelajuan tinggi yang dikendalikan oleh syarikat aeroangkasa milik Elon Musk, SpaceX akan datang ke Malaysia minggu depan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kehadiran kumpulan tersebut bagi memperhalusi beberapa cadangan yang akan dikemukakan oleh Malaysia.
“Ketika saya berada di Amerika Syarikat, saya bertemu dengan syarikat SpaceX dan Starlink. Yang ini adalah syarikat yang dimiliki oleh Elon Musk yang berteknologi tinggi untuk membina satelit bagi memastikan campaian internet dapat dicapai di kawasan-kawasan pendalaman dengan lebih efektif dan kos yang lebih murah dan cepat.
“Jadi mereka menyatakan kesedian untuk melabur di Malaysia. Minggu depan mereka akan datang ke Malaysia untuk memperhalusi cadangan-cadangan ini dengan beberapa kementerian dan agensi kita menyambut baik komitment syarikat di bawah Elon Musk untuk melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan berteknolgi tinggi,” kata Azmin.
Beliau ditemui pada Majlis Silaturahim Aidilfitri Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri Gombak Setia di Taman Greenwood, Gombak hari ini.-
Azmin bertemu dengan pemimpin syarikat Starlink ketika berada di Amerika Syarikat selama 10 hari bermula 9 hingga 18 mei bagi misi perdagangan dan pelaburan.
Tambah Azmin, dakwaan kononnya Malaysia tidak lagi menjadi destinasi pilihan pelabur adalah tidak berasas.
“Ketika misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat, syarikat-syarikat utama yang berpangkalan di AS khususnya dalam sektor semikonduk, peranti perubatan, telekomunikasi ini sektor-sektor berteknologi tinggi yang telah menunjukkan komitmen mereka untuk melabur di Malaysia.
“Misi itu telah berjaya menarik pelaburan baru berjumlah RM16 bilion. Ini juga membuktikan pelabur asing yakin bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan.
“Dan mereka bukan sahaja bersedia untuk membawa pelaburan ke dalam negara tetapi juga menyatakan komitmen untuk membina rantaian bekalan dalam kalangan perusahan kecil dan sederhana tempatan,” katanya.
Tambah Azmin, syarikat terbabit menyatakan komitmen untuk melatih pekerja tempatan sebagai sebahagian pakej pelaburan yang dibuat.
Malaysia merekodkan pelaburan berjumlah RM306 bilion pelaburan tahun lalu.
Justeru, Malaysia berada dalam landasan yang betul dan ekonomi bergerak dengan pantas seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia, membolehkan negara mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus pada suku tahun pertama. – MalaysiaGazette