Home Nasional Garis panduan penggunaan mikro mobiliti diumumkan kelak – Ka Siong

Garis panduan penggunaan mikro mobiliti diumumkan kelak – Ka Siong

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong membuat lawatan pemeriksaan status eskalator yang rosak di Stesen LRT Ampang Park, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan garis panduan berhubung penggunaan kenderaan mikro mobiliti di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, segala panduan penggunaan dan pengelolaan kenderaan itu akan diumumkan pihaknya tidak lagi.

“Tapi pastikan keselamatan itu dijaga. Kerajaan telah bincang dan kita akan umumkan apabila siap keseluruhan garis panduan penggunaan kenderaan itu. Antaranya strategi yang kita mahukan ialah kita tidak benarkan dahulu dan beri pengecualian sebab ada kluasa.

“Apabila pengecualian itu diberikan maka garis panduan itu kita akan lihat apa pengecualian yang boleh kita berikan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Stesen LRT Ampang Park, di sini, hari ini.

Pada April lalu, MalaysiaGazette melaporkan terdapat aktiviti penggunaan e-skuter oleh sekumpulan penggunaan secara berbahaya di Taman Tasik Perdana Cyberjaya.

Menurut laporan itu, kebanyakan penunggang e-skuter tidak menghiraukan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain.

Sebelum ini, Ka Siong berkata, penggunaan kenderaan mikro mobiliti memerlukan lesen pengoperasian.

Malah tambah beliau, kementerian juga kini sedang memperhalusi beberapa dasar dan peraturan kecil bagi memastikan kenderaan mobiliti mikro itu dikawal penggunaannya.

Jelasnya, perbincangan telah dibuat pada April tahun lalu berhubung keperluan untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan kawasan khas kepada pengguna-pengguna mikro mobiliti ini.

“Kalau kita dapat wujudkan satu persekitaran di mana ada laluan pejalan kaki, basikal, tempat menyeberang jalan, saya rasa kita boleh benarkan (penggunaan mikro mobiliti) tidak ada isu,” katanya.

Ia dibuat kementerian itu dengan agensi serta kementerian berkaitan antaranya Jabatan Perancang Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kementerian tersebut, katanya, menyokong penggunaan kenderaan mikro mobiliti namun ia mesti dilihat secara lebih berwaspada.

“Kalau menteri kata boleh digunapakai di semua jalan, esok mereka kena langgar, menteri akan dipersalahkan,” jelas Ka Siong. – MalaysiaGazette