MELAKA – Ahli politik dan artis di negara diingatkan tidak bersifat populis dalam mengemukakan pandangan mengenai penggunaan kanabis atau ganja dalam bidang perubatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, mereka sebaliknya harus mempunyai fakta bukannya sekadar menghangatkan isu berkenaan untuk popular.
Sebagai seorang doktor perubatan, beliau mengalu-alukan apa sahaja jenis ubat yang mampu untuk memberi kesembuhan kepada pesakit, sama ada ia sudah tersedia ataupun ubat yang baharu ditemui.
“Sama juga apabila bercakap mengenai ganja atau kanabis sebagai perubatan, ia mestilah disertakan dengan kajian yang benar-benar terbukti selamat untuk digunakan, bukan hanya bersifat populis dan tidak mempunyai data kajian.
“Kita adalah pemimpin untuk menjaga rakyat dan bukanlah untuk mencari populariti semata-mata termasuklah golongan artis, maka semua keputusan kita terutama yang melibatkan soal kesihatan rakyat perlulah dilakukan dengan kajian yang teliti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal turut berkongsikan kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat membuktikan hanya dua penyakit iaitu sakit kronik dan sklerosis multipel sahaja menunjukkan mampu di rawat menggunakan ganja.
“Manakala untuk penyakit lain, tiada bukti kukuh membuktikan boleh dirawat menggunakan kanabis termasuklah penyakit saraf, ketagihan, masalah mental, shcizophrenia dan gangguan tekanan selepas trauma.
“Maka seharusnya satu kajian perlu dilakukan dengan lebih terperinci untuk memastikan ganja ini selamat dan berkesan digunakan untuk tujuan perubatan ataupun sebaliknya,” katanya.
Jelasnya, soal kesihatan rakyat bukanlah satu perkara yang boleh diambil remeh kerana apa jua yang melibatkan polisi kesihatan rakyat ia perlulah melalui proses kajian yang begitu teliti mengenai baik dan buruknya.
Baru-baru ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyarankan kerajaan mengiktiraf ganja sebagai antara bentuk perubatan alternatif terbaharu di Malaysia.
Isu tersebut mula diperkatakan susulan penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman ditahan setelah kegiatannya menanam ganja terbongkar selepas kediamannya diserbu polis pada 24 Mac lalu.
Dalam serbuan itu polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di salah sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.
Berikutan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kira-kira dua tahun lalu, Yasin pernah mendedahkan beliau menghidap bipolar dan pernah dirawat di wad psikiatri hospital Kuala Lumpur selama dua minggu. – MalaysiaGazette
Sendiri tanam ganja, sendiri sakit, sendiri jadi Dr. dan buat preskripsi sendiri..bengong punya artis