Home Nasional Suspek ditangkap bersama dadah bukan petugas pejabat penyelaras DUN Gombak Setia –...

Suspek ditangkap bersama dadah bukan petugas pejabat penyelaras DUN Gombak Setia – Polis

logo pdrm
Gambar hiasan

GOMBAK – Polis menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengenai serbuan pasukan narkotik di pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia dan merampas empat beg daun ketum.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, sebaliknya serbuan kira-kira jam 10.45 malam Jumaat oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dijalankan di pekarangan Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, di sini.

Menurutnya, semasa operasi itu polis telah menahan seorang lelaki tempatan dan pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan dua biji pil disyaki dadah eramin 5, satu botol dan lima bungkusan disyaki mengandungi air ketum.

“Suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun bukanlah seorang petugas di pejabat penyelaras DUN Setia Gombak Setia.

“Rampasan dadah dibuat dalam sebuah khemah di pekarangan Dewan Beringin dan bukannya di dalam pejabat penyelaras DUN Gombak Setia seperti dakwaan yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Tambah beliau, dewan terbabit adalah dewan serbaguna yang digunakan oleh masyarakat Taman Sri Gombak serta di kawasan sekitarnya.

Menurut Zainal, suspek itu kini telah ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita
yang tidak benar,” ujarnya.

Semalam, polis terkesan satu hantaran di media sosial yang menyatakan “Malam tadi salah seorang staff Pejabat Penyelaras DUN Gombak Setia diberkas bersama empatĀ  beg ketum yang di simpan di dalam pejabat”. – MalaysiaGazette