Home Dunia Bangunan runtuh, sekurang-kurang 4 maut

Bangunan runtuh, sekurang-kurang 4 maut

Foto: FB Mavia Al Kalin

TEHRAN – Sebuah bangunan 10 tingkat di barat daya Iran runtuh hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera, kata para pegawai.

Jurucakap organisasi perubatan kecemasan nasional Iran, Mojtaba Khaledi berkata, seramai 25 orang cedera dalam kejadian di bandar Abadan, lapor agensi berita, Anadolu.

Bagaimanapun, terdapat laporan yang menyatakan angka korban sebanyak lima orang manakala 80 lagi cedera.

Agensi berita Anadolu difahamkan melalui sumber bahawa lebih 150 orang berada di dalam bangunan komersial Metro Pol yang masih dalam pembinaan di Jalan Amiri yang sibuk apabila ia runtuh.

Punca kejadian masih belum diketahui. Operasi menyelamat sedang dilakukan dan bangunan berhampiran dikosongkan.

Ketua Bulan Sabit Iran, Mehdi Valipour dipetik sebagai berkata, sekurang-kurangnya 80 orang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dalam insiden pukul 12.30 tengahari itu.

Para pegawai daerah di Abadan memberitahu media tempatan bahawa angka kematian mungkin lebih tinggi.

Rakaman video dan gambar memaparkan mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital dan orang ramai beratur di hadapan hospital untuk menderma darah. – Agensi

(https://www.aa.com.tr/en/middle-east/building-collapse-kills-4-injures-dozens-in-iran/2595487)