JOHOR BAHRU – Sebanyak 121 kompaun berjumlah RM101,300 dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor terhadap peruncit dan pemborong di negeri ini sejak awal Februari hingga kini.
Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, tindakan itu diambil kerana mereka tidak mematuhi Penentuan Harga Maksimum (PHM) Ayam dan Telur yang dikuatkuasakan pada 5 Februari lalu.
“Sepanjang tempoh ini pihak KPDNHEP Johor telah memeriksa 4,487 premis melibatkan 4,321 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 166 pemeriksaan di peringkat pemborong dan pengeluar.
“Pemeriksaan dan tinjauan stok bekalan ayam turut dijalankan di setiap peringkat rantaian pengedaran bagi memastikan tiada isu terputus bekalan ayam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sehingga Isnin, KPDNHEP Johor menerima 33 aduan berkaitan kenaikan harga serta bekalan ayam dan pihaknya telah melakukan siasatan dan tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
Menurut Mohd. Hairul, antara tindakan diambil disebabkan kesalahan gagal mempamerkan harga jualan dan menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan.
Pihaknya ambil maklum isu serta aduan berkaitan kedudukan bekalan serta kenaikan harga ayam terutamanya di lokasi tumpuan iaitu di pasar awam dan pasar basah sejak akhir-akhir ini.
Smentara itu, Mohd. Hairul berkata, KPDNHEP Johor telah meningkatkan pemeriksaan ke atas semua jenis pasar seperti pasar basah, pasar awam, pasar tani dan pasar raya yang menjual ayam.
“Pemeriksaan bertujuan memantau kedudukan bekalan serta kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat iaitu ayam di peringkat pembekalan barang secara berterusan mengikut rantaian pengedaran,” ujarnya.
Tambah beliau, pemeriksaan akan dibuat dengan memeriksa maklumat harga dan kos barangan di peringkat pembekalan barangan yang terdiri daripada peruncit dan pembekal agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya dan mengikut harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.
“Anggota Penguatkuasa KPDNHEP di negeri seramai 200 orang akan sentiasa memantau dan memeriksa agar bekalan barangan keperluan harian adalah mencukupi bagi rakyat negeri ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette